rencana@hmetro.com.my
PENYAKIT berjangkit seperti kusta, malaria dan kecacingan masih menjadi ancaman utama kepada kesihatan komuniti Orang Asli, khususnya yang menetap jauh di pedalaman serta terdedah kepada persekitaran berisiko.
Faktor seperti pemakanan tidak seimbang, daya tahan tubuh yang rendah dan kedudukan geografi yang terpencil antara penyumbang utama kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan komuniti berkenaan.
Hubungan kekeluargaan yang rapat juga menjadikan penyebaran penyakit seperti tuberkulosis (TB) dan kusta lebih mudah berlaku selain risiko jangkitan malaria yang tinggi akibat pergerakan harian di kawasan hutan serta kebun.
Menyedari keperluan kritikal ini, satu inisiatif kesihatan menyeluruh menerusi program KO-HOME (Kusta Outreach, HPV Outreach, Malaria Evaluation and Engagement) dilaksanakan di Pos Tenau, Slim River, baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Pos Tenau dan pelbagai agensi berkaitan menyasarkan komuniti Orang Asli di sekitar sempadan Perak-Pahang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara holistik.
Antara rakan pelaksana yang turut serta menjayakan program berkenaan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Perak, PKD Lipis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hospital Teluk Intan dan Makmal Kesihatan Awam Ipoh.
Turut membantu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pinzgauer yang memberi sokongan logistik serta teknikal dalam pelaksanaan aktiviti saringan serta kajian entomologi di puncak Banjaran Titiwangsa. Program yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan seramai 288 penduduk menerima saringan kesihatan menyeluruh termasuk ujian ‘slit skin test’ (SST) bagi kusta yang membabitkan 30 individu.
Selain itu, 25 kanak-kanak perempuan berusia antara sembilan hingga 18 tahun menerima suntikan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) sebagai langkah pencegahan awal terhadap kanser serviks.
Sebagai langkah intervensi terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD), seramai 84 penduduk turut menjalani pemeriksaan tekanan darah dan tahap glukosa.
Sementara itu, 21 kanak-kanak berumur antara satu hingga tiga tahun dikenal pasti mengikuti program intervensi kurang zat makanan (KZM).
Menariknya, saringan turut merangkumi pengesanan aktif dalam kalangan pekerja warga asing di kawasan projek jalan Tenau-Sinderut, sekali gus memperluas cakupan kesihatan awam melangkaui komuniti tetap.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan awal terhadap risiko kesihatan yang dihadapi masyarakat pedalaman, malah turut menzahirkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan tiada komuniti terpinggir daripada akses penjagaan kesihatan asas-Penulis ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pra-Warta), Pusat Kesihatan Daerah Muallim, Perak
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd