Pemeriksaan mengejut saliran di hotspot banjir di Kuala Lumpur dipertingkat

Pemeriksaan mengejut saliran di hotspot banjir di Kuala Lumpur dipertingkat

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pemeriksaan mengejut terhadap sistem saliran di Kuala Lumpur akan dipertingkatkan bagi memastikan laluan air tidak tersumbat, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat ketika musim hujan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pemeriksaan itu perlu dilakukan lebih awal, khususnya ketika musim kering bagi memastikan kerja pembersihan saliran dilaksanakan dengan sempurna sebelum hujan lebat.

Katanya, pejabat cawangan Parlimen di Kuala Lumpur turut diaktifkan dengan pasukan pemantauan yang menjalankan rondaan bagi mengenal pasti masalah di lapangan sebelum menyalurkan laporan terkini kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL).

“Kadang-kadang jalan nampak bersih tetapi lubang saliran mungkin tersumbat. Sebab itu kita perlu membuat pemeriksaan mengejut dan memastikan kerja pembersihan dilakukan dengan betul.

“Kumpulan ini juga menjalankan rondaan dan memastikan perkara itu diberi perhatian serta melaporkan perkembangan terkini kepada Datuk Bandar,” katanya selepas melancarkan Bulan Kitar Semula dan merasmikan fasiliti kitar semula COB3R di sini, hari ini.

Hannah berkata, pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan jumlah lokasi panas (hotspot) banjir kilat di ibu negara tidak meningkat semula.

Katanya, perubahan corak cuaca ketika ini memerlukan pihak berkuasa membuat persediaan lebih awal dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep bandar span (sponge city) turut diberi perhatian bagi meningkatkan keupayaan kawasan bandar menyerap dan mengurus air hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top