PETALING JAYA: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion dilihat banyak membantu membina semula industri pelancongan yang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Dalam sidang akhbar hari ini, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis menyifatkan beberapa inisiatif sangat membantu seperti geran bantuan khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar serta bantuan tunai secara one-off RM600 kepada pengusaha inap desa berdaftar.
“Bukan senang membantu industri pelancongan yang cukup terkesan dengan Covid-19 tetapi pakej Pemerkasa ini sedikit sebanyak dapat membantu penggiat pelancongan.
“Industri pelancongan adalah industri ketiga yang paling banyak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum Covid-19, jadi pakej ini dilihat akan membantu membina semula industri pelancongan,” katanya.
Pada masa sama, Uzaidi berharap dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar dan sempadan negeri serta negara dapat dibuka semula tidak lama lagi.
“Industri pelancongan sangat mengharapkan pergerakan pelancong. Kalau tidak, tidak adalah pelancongan. Pergerakan adalah DNA industri pelancongan.
“Lagipun sehingga hari ini masih tidak ada kluster pelancongan, selagi kita jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Jadi kita berharap sempadan dapat dibuka tidak lama lagi dan mantapkan semula industri ekonomi,” katanya.
Beliau juga menyeru industri pelancongan supaya bersiap sedia untuk aktif semula memandangkan kerajaan berhasrat untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri, sebaliknya kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.
“Jangan tunggu sampai sempadan dibuka, inilah masanya untuk melihat produk yang sesuai untuk dieksport, mempromosi negara, menarik perhatian pelancong dan penaja bagi meningkatkan lagi keyakinan terhadap pelancongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE