Pemilihan semula PKR: Keputusan berubah babitkan jawatan Ketua Cabang Selayang, Jempol dan Pasir Salak

Pemilihan semula PKR: Keputusan berubah babitkan jawatan Ketua Cabang Selayang, Jempol dan Pasir Salak

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengundian semula pemilihan PKR yang dijalankan hari ini menyaksikan perubahan keputusan pada tiga jawatan Ketua Cabang iaitu Selayang di Selangor, Jempol di Negeri Sembilan dan Pasir Salak di Perak.

Perubahan itu membabitkan jawatan Ketua Cabang di Selayang yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, selain Manivanan Gowin yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR menang di Jempol dan Hisamuddin Ali pula di Pasir Salak.

Bagaimanapun pemilihan semula untuk jawatan Ketua Cabang Silam di Lahad Datu menyaksikan ‘status quo’ apabila Romansa Lamin mempertahankan kemenangan.

Berdasarkan pengumuman di laman sesawang Pemilihan 2025 PKR, Wei Kiat menang jawatan Ketua Cabang Selayang dengan 1,945 undi, mengatasi Wan Ibnul Bahar Wan Ismail dengan 1,693 undi.

Seorang lagi calon diumumkan hilang kelayakan bertanding.

Pada pemilihan semula hari ini 3,647 ahli keluar mengundi dengan jumlah yang layak melakukan pengundian adalah 4,705 orang.

Keputusan pemilihan sebelum ini menyaksikan Wei Kiat yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR gagal dalam cubaan memimpin Cabang Selayang apabila tewas dalam pertembungan tiga penjuru.

Bagi jawatan Ketua Cabang Jempol, Manivanan meraih 571 undi, mengenepikan dua pesaing iaitu Muhammad Asri Abdullah yang memperoleh 229 undi dan dan K Mariappan dengan 52 undi.

Pada pemilihan peringkat Ketua Cabang PKR Jempol 13 April lalu, Azizah Salim Shah diumum menang selepas meraih 450 undi.

Kemenangan Azizah dibatalkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas mendapati beliau masih ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ketika memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol, sekali gus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.

Di Pasir Salak, kejutan berlaku apabila jawatan Ketua Cabang yang dimenangi Mohamad Yusof Majid sebelum ini ‘dirampas’ Hisamuddin.

Pemilihan semula hari ini menunjukkan Hisamuddin meraih 944 undi, menewaskan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, Mohamad Maharani Md Tasi yang memperoleh 677 undian.

Sementara pemilihan di Silam Romansa mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan dua pesaing iaitu Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin yang hanya memperoleh empat undi dan Rubiah Onga dengan 483 undi.

Romansa kini memasuki penggal ketiga sebagai Ketua Cabang Silam sejak 2018.

Pada pemilihan diadakan 21 April lalu, Romansa diumumkan pemenang dengan meraih 445 undi, namun JPP membuat keputusan untuk memberi peluang pemilihan semula kerana salah seorang calon yang sepatutnya bertanding sudah meninggal dunia, namun namanya masih dalam sistem.

Kekeliruan ini menyebabkan ada pengundi masih mengundi calon berkenaan.

Turut dipertandingkan semula jawatan Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN bagi Cabang Silam, dengan Muhammad Firdaus Charlie menang tipis dengan 144 undian, manakala lawannya, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin memperoleh 124 undian.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita Cabang Besut di Terengganu yang turut diadakan pemilihan semula menyaskikan kemenangan berpihak kepada Wan Azizah Wan Abas.

Beliau memperoleh 308 undian sekali gus mengenepikan pesaingnya, Wan Maziah Hussain yang mendapat 271 undian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top