bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: Sebuah syarikat yang mengendalikan dua restoran dekat Nilai di sini, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan menggunakan logo halal yang tidak sah, tahun lalu.
Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman denda itu terhadap pemilik syarikat Seribu Rasa Sdn Bhd, A Nadaraja, 59, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperakukan makanan dibekalkan di dua restorannya sebagai halal dengan cara bertentangan mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang menjadi kesalahan mengikut Perenggan 8(a)(A) perintah sama.
Kesalahan dilakukan pada 20 Oktober 2020, di antara jam 4.50 petang hingga 5.20 petang di restoran Ginger NOI Thai Kitchen dan restoran Harum Manis di Mesamall, Bandar Baru Nilai.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kee Shu Min.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat pemeriksaan terhadap dua restoran terbabit dan mendapati kesemua sijil halal yang dipamerkan dalam restoran itu bukan kepunyaannya.
Ketika pemeriksaan, pihak berkuasa menemui beberapa salinan sijil halal dari luar negara dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik syarikat lain.
Hasil semakan dilakukan JHEAINS dan JAKIM, mengesahkan syarikat tertuduh dan restoran berkenaan tidak memiliki sijil halal dan bukan pemegang SPHM yang sah di Negeri Sembilan.
Jika gagal menjelaskan denda, tertuduh berdepan enam bulan penjara bagi kedua-dua pertuduhan.
End
Caption: SEREMBAN 26 JANUARI 2022. Tertuduh, pemilik syarikat Seribu Rasa Sdn Bhd, A Nadaraja, 59, ketika berada di Kompleks Mahkamah Seremban, di sini, hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin.
From: Hasbi
© New Straits Times Press (M) Bhd




