Pemilik hotel, pelanggan langgar SOP PKPD dikompaun

Pemilik hotel, pelanggan langgar SOP PKPD dikompaun

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Seorang pemilik hotel bajet di Taman Anggerik di sini dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana menjalankan operasi.

Timbalan Ketua Polis Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata dalam pemeriksaan yang dilakukan pasukan pemantau COVID, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar jam 10.30 malam tadi, didapati hotel berkenaan melanggar SOP PKPD ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan terhadap lelaki berusia 60-an dipercayai pemilik hotel terbabit.

“Pemeriksaan di hotel itu juga mendapati terdapat seorang wanita warganegara Thailand umur 30-an yang didaftarkan sebagai pelanggan menginap di sebuah bilik hotel berkenaan.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati dokumen perjalanan wanita Thailand itu didapati tamat tempoh dan dia ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, tangkapan dilakukan terhadap wanita Thailand itu dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan di hotel itu turut menemui satu pasangan berusia 30-an yang berada di dalam sebuah kenderaan di hadapan hotel terbabit.

“Kompaun turut dikenakan terhadap kedua-duanya tidak mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan.

“Mereka masing-masing dikompaun RM2,000,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, sejak PKPD di Kota Setar bermula semalam, sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan dan ketidakpatuhan terhadap SOP PKPD.

Beliau berkata, kebanyakan kesalahan itu adalah kesalahan berkumpul dan minum di kawasan kediaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top