sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil meluahkan kekecewaannya berkaitan kesetiaan dalam gabungan yang dibentuk melalui beberapa individu dalam pemilikan kelab disaat bergelut untuk mencari jalan keluar mengenai masalah kewangan.
“Tetapi apa yang berlaku dan mungkin dibuat keputusan adalah apabila KDA FC mengalami banyak masalah kewangan, maka terdapat satu keputusan untuk tidak meneruskan dengan wadah yang ada, malah ditubuhkan pula wadah yang baharu. Saya sebagai pemilik KDA FC yang dijemput untuk bersama mereka itu berasa kurang selesa.
“Sepatutnya dalam keadaan susah payah ini gabungan ini masih bersama-sama demi menyelamatkan pasukan dan membina kembali pasukan yang ditubuhkan bersama dalam suasana semangat kekeluargaan dan kebersamaan walaupun dari segi undang-undang tidak salah untuk membentuk sebuah pasukan kedua, ketiga dan sebagainya.
“Sebagai manusia memang saya merasa kecewa, kerana apabila kita susah, sudah pasti kita mengharapkan rakan-rakan kita atau ahli keluarga kita yang ada kepentingan bersama secara ‘stake holders’ untuk membantu kita. Ini kerana mereka telah menjadi pemilik bersama dan membentuk sebuah perkongsian stategik yang dibina sejak 2021 hinggalah ke hari ini,” katanya pada sidang media berkaitan pasukan yang diadakan semalam.
Dalam perkembangan sama, meskipun kini terdapat sebuah lagi pasukan yang baru ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan membawa nama Kedah untuk saingan Liga Semi Pro A1 musim ini, namun skuad KDA FC tetap dianggap seperti abang kepada Kedah FC kerana melalui perjuangan dan mencatat kegemilangan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) termasuk bersaing di peringkat Piala AFC pada musim 2020 hingga 2022.
“KDA FC anak kepada keluarga KFA yang telah diswastakan pada 2019 lalu dan telah diamanahkan kepada tiga ahli lembaga pengarah dari KFA sendiri dan juga saya untuk menjaga dan membesarkan KDA FC ini menuju masa depan dalam saingan Liga Malaysia. Itu secara faktanya.
“Namun apabila KDA FC membesar dan sedang dalam usaha meneruskan kejayaan, pihak KFA pula tiba-tiba melahirkan ‘anak baharu’ iaitu dengan munculnya Kedah FA baru-baru ini sedangkan yang pada asalnya KDA FC merupakan anak pertama daripada keluarga KFA.
“Jadi saya berharap pihak KFA juga dapat memainkan tanggungjawabnya terhadap ‘anak pertama’nya ini iaitu KDA FC secara bersamanya bagi menyelesaikan masalah yang telah dilalui sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd