rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemilik dan jurujual kedai emas antara tujuh individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) selepas dipercayai terbabit penipuan nombor ramalan, dalam serbuan pada 4 Julai lalu.
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka yang ditahan termasuk suspek utama iaitu seorang lelaki tempatan bersama seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 55 tahun itu ditahan dalam enam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Penahanan itu dibuat susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 63 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan nombor ramalan di Setapak, pada 27 Jun lalu.
“Pengadu yang juga pesara mendakwa didatangi seorang wanita warga Indonesia meminta bantuan menunjukkan jalan ke sebuah kedai nombor ramalan kononnya untuk menebus wang kemenangan.
“Pengadu kemudian dipelawa menaiki sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga Indonesia.
“Sepanjang berada dalam kenderaan yang turut dinaiki dua lelaki dan dua wanita juga rakan senegara mereka, pengadu mendengar perbualan kononnya akan berkongsi wang kemenangan dengan pengadu berjumlah RM15,000,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Rusdi berkata, pengadu yang terpengaruh dengan suspek bersetuju menyerahkan gelang emas dipakai dan menyerahkan kad ATM miliknya.
Menurutnya, suspek mengeluarkan wang tunai RM500 milik pengadu sebelum meninggalkan pengadu di satu lokasi dengan alasan akan kembali sebaik menebus wang kemenangan itu, namun gagal berbuat demikian.
“Melalui siasatan dijalankan, polis menahan tujuh individu dan merampas sebuah kereta Perodua Aruz, enam telefon bimbit pelbagai jenama, lima beg, lima barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM1,330.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau percaya dengan penahanan suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 15 kes penipuan sama yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian keseluruhan RM199,243.00.
© New Straits Times Press (M) Bhd