Pemilik Kenderaan Disewa Warga Asing Tanpa Lesen Tidak Akan Terlepas Tindakan JPJ

Pemilik Kenderaan Disewa Warga Asing Tanpa Lesen Tidak Akan Terlepas Tindakan JPJ

Tumpuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini bukan lagi sekadar terhadap warga asing yang memandu tanpa kelayakan, sebaliknya turut menjurus kepada pemilik kenderaan tempatan yang dipercayai menjadikan penyewaan kenderaan sebagai sumber keuntungan mudah.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat, berkata siasatan sedang dijalankan terhadap pemilik tempatan yang didapati memiliki beberapa kenderaan sebelum disewakan kepada warga asing untuk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

Menurutnya, kenderaan terbabit akan disita dan rekod pemilik turut disemak bagi mengenal pasti sama ada mereka pernah melakukan kesalahan sama sebelum ini.

“Ada yang kita tahan tiga kenderaan itu melibatkan seorang pemilik sama. Kita akan siasat.

“Modus operandi pemandu warga asing ini pelbagai dan salah satunya sewa daripada pemilik tempatan dan digunakan untuk perniagaan seperti jual roti, kutip besi buruk dan lain-lain.

“Kadar sewaan tidak menentu bergantung kepada rundingan. Ada sehari bayar RM100 ikut persetujuan,” katanya kepada pemberita selepas Op Pemandu Warga Asing (Pewa) di Selayang, hari ini.

Ahmad Kamarunzaman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya, termasuk pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka tanpa mematuhi syarat ditetapkan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan seperti sitaan kenderaan, pengeluaran notis serta pendakwaan akan terus dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan undang-undang dipatuhi.

Beliau turut memberi amaran kepada pemilik kenderaan, majikan dan mana-mana individu yang membenarkan warga asing memandu tanpa lesen memandu yang sah, tanpa kelayakan diiktiraf atau tanpa dokumen perjalanan yang sah bahawa mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam operasi yang dijalankan bermula jam 6.30 pagi hingga 2 petang itu, JPJ Selangor memeriksa 126 kenderaan dan menyita 34 daripadanya mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Daripada jumlah itu, sitaan membabitkan 11 motosikal roda tiga, 12 motosikal, enam kenderaan persendirian dan lima lori yang dipercayai digunakan warga asing, termasuk Rohingya, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan untuk aktiviti seperti mengutip besi buruk, barangan lusuh serta menjalankan perniagaan kecil.

Menurut Ahmad Kamarunzaman, semua kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan kepada pemilik sehingga prosiding mahkamah selesai, selain tiada tawaran kompaun diberikan.

Beliau menegaskan tindakan tegas itu bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu warga asing, malah pemilik tempatan yang didapati membenarkan kenderaan mereka digunakan bagi tujuan melanggar undang-undang juga akan dihadapkan ke mahkamah.


Scroll to Top