am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pemilik restoran berkonsepkan rumah bot akur dengan kerugian hampir RM800,000 yang dialami apabila premis itu dihanyutkan arus deras, hari ini.
Mohd Izhan Ramli, 40, berkata, jumlah kerugian itu membabitkan kerosakan sebahagian daripada rumah bot itu, perabot yang tenggelam serta lauk basah yang disimpan dalam peti ais termasuk ‘king crab’ yang baru dibeli.
Dia berkata, premisnya menerima banyak tempahan pelanggan yang ingin datang makan hari ini tapi memandangkan mereka mengambil cuti selama seminggu, tempahan terpaksa dibatalkan.
“Cuti diambil kerana ingin membersihkan sisa pokok tumbang yang menghempap sebahagian rumah bot ini serta sedikit kerosakan akibat dihentam arus.
“Bahagian hadapan rumah bot ada yang patah dan menyebabkan air memasuki ruang dalaman sekali gus merosakkan pelbagai lauk pauk yang disimpan dalam peti sejuk beku termasuk king crab.
“Apabila tali pengikat rumah bot ini putus petang tadi dan dihanyutkan arus, kerosakan semakin bertambah dan dianggarkan sekitar RM800,000 kerugian saya alami,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Izhan berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu turut menghanyutkan sebuah bot peribadinya yang diletakkan dalam rakit namun tiada kerosakan berlaku.
Rumah bot yang hanyut itu berjaya diselamatkan di muka kuala Kuala Besar hasil bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama penduduk kampung.
Sementara, rakit yang memuatkan bot peribadinya pula diselamatkan di Kampung Keseng, tidak jauh dari lokasi rumah bot diselamatkan.
Mohd Izhan berkata, rumah bot itu dibeli sejak empat tahun lalu dengan kos RM500,000 dan sejak beroperasi, belum pernah berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




