
Keadaan rumah mayat Return to Nature Funeral Home di mana pasangan Hallford menyimpan 191 mayat reput dan menipu keluarga si mati serta kerajaan. Foto Muskogee County Sheriff’s Office
DENVER – Seorang pemilik rumah mayat di Colorado, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh mahkamah persekutuan selepas didapati bersalah menyimpan 191 mayat dalam keadaan reput serta menipu pelanggan dan kerajaan Persekutuan.
Jon Hallford, 45, pemilik Return to Nature Funeral Home di Penrose, mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan melalui talian dan turut diperintahkan membayar pampasan berjumlah AS$1.07 juta (RM5.06 juta) kepada keluarga mangsa.
Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara Daerah Colorado, Hallford dan isterinya, Carie Hallford, telah menyimpan mayat-mayat tersebut antara tahun 2019 hingga 2023 tanpa melakukan pembakaran atau pengebumian seperti dijanjikan kepada keluarga si mati.
Sebaliknya, mereka menghantar abu palsu yang sebenarnya campuran konkrit kering kepada waris.
Penemuan mengejutkan itu berlaku pada Oktober 2023 apabila pihak berkuasa menerima aduan bau busuk dari premis berkenaan.
Siasatan mendapati bangunan tersebut dalam keadaan usang dan dipenuhi serangga, dengan mayat-mayat disusun bertindih sehingga menyukarkan pergerakan pegawai penyiasat.
Dalam prosiding mahkamah, Hakim Daerah Nina Wang menyifatkan kes itu sebagai bukan kes penipuan biasa dan menjatuhkan hukuman maksimum 240 bulan penjara terhadap Hallford atas keseriusan jenayah dan kesan emosi terhadap keluarga mangsa.
Selain itu, Hallford turut mengaku bersalah menipu kerajaan persekutuan dengan memohon bantuan kewangan Covid-19 secara palsu melalui program Small Business Administration (SBA).
Dana berjumlah hampir AS$900,000 (RM4.25 juta) itu digunakan untuk membeli kenderaan mewah, mata wang kripto, serta barangan berjenama.
Hallford juga menghadapi 191 pertuduhan berasingan atas kesalahan mencemarkan mayat di mahkamah negeri dan dijadualkan dijatuhi hukuman pada Ogos ini.
Isterinya, Carie, pula akan dibicarakan dalam kes persekutuan dan negeri pada September. – Awani