
Gambar menunjukkan air kencing disimpan dalam botol. – Foto tular/media sosial
CHINA – Seorang pemilik rumah wanita di Zhejiang berdepan pengalaman menjijikkan baru-baru ini, apabila mendapati unit rumah sewanya dipenuhi hampir 1,000 kilogram air kencing yang disimpan dalam botol plastik oleh bekas penyewa.
Menurut laporan, penemuan itu berlaku selepas penyewa lelaki berusia lingkungan 40-an gagal membayar sewa sehingga mencecah lebih RMB5,000 (kira-kira RM3,300).
Pemilik rumah dikenali sebagai Ms Jia berkata, dia ke unit berkenaan untuk menukar kod kunci digital sebelum terhidu bau busuk yang amat kuat sebaik membuka pintu.
“Saya terkejut dengan keadaan rumah yang sangat kotor dan berbau,” katanya.
Dia kemudian menemui ratusan botol plastik berisi air kencing yang disumbat di dalam kabinet serta di bawah katil.
Laporan sama turut menyebut, keadaan rumah semakin teruk apabila dinding dan unit penghawa dingin bertukar warna kekuningan dipercayai akibat pencemaran tersebut.
Selain itu, longgokan puntung rokok turut ditemui di tepi katil, menambah lagi keadaan tidak bersih di dalam unit berkenaan.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang meluahkan rasa jijik selain simpati terhadap tuan rumah yang terpaksa menanggung kos pembersihan.



