Pemimpin adil seperti ibu penyayang, penjaga anak yatim

Pemimpin adil seperti ibu penyayang, penjaga anak yatim

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 77)

Advertisement

Di antara nasihat Imam Al-Hasan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz lagi ialah seperti berikut:

والإمام العادل – يا أمير المؤمنين – كالأم الشفيقة البرة الرفيقة بولدها، حملته كرهًا ووضعته كرهًا، وربّته طفلاً، تسهر بسهره، وتسكن بسكونه، ترضعه تارة, وتفطمه أخرى، وتفرح بعافيته وتغتم بشكايته.

والإمام العادل – يا أمير المؤمنين – وصيّ اليتامى، وخازن المساكين، يربّي صغيرهم، ويمون كبيرهم.

والإمام العادل – يا أمير المؤمنين – كالقلب بين الجوارح, تصلح الجوارح بصلاحه, وتفسد بفساده.

Maksudnya: Pemerintah yang adil itu wahai Amir al-Mukminin ialah seperti ibu yang sayang kepada anaknya, mengandung dengan payah, sukar melahirkan, membesarkannya ketika kecil, sanggup berjaga malam kerananya, tenang apabila anaknya diam, menyusukan, kemudian memutuskan susu bila sampai masanya, gembira bila anaknya sihat, rungsing bila anaknya sakit.

Pemerintah yang adil itu wahai Amir al-Mukminin seperti penjaga anak yatim, pengurus wang orang miskin, mendidik anak kecil mereka, memberi belanja kepada orang dewasa dalam kalangan mereka.

Pemerintah yang adil itu wahai Amir al-Mukminin seperti hati berbanding anggota badan yang lain, anggota elok jika hati elok, anggota rosak bila hati rosak.

Al-Hasan al-Basri terus menasihati Umar bin Abdul Aziz untuk menjadi pemerintah yang adil melalui perumpamaan yang biasa dan mudah difahami. Bentuk perumpamaan ini sebenarnya banyak di dalam al-Quran dan hadis.

Semua orang tahu tentang sifat ibu. Bukan sekadar wanita biasa. Sifat wanita pun berbeza dengan sifat lelaki. Penyayang, sensitif, prihatin, lemah lembut adalah sifat wanita. Ditambah sebagai ibu, maka ia lebih nyata lagi.

Pemimpin biasanya seorang lelaki. Tentu sifat lelaki berbeza dengan sifat perempuan. Namun, yang menarik ialah apabila Al-Hasan al-Basri mengumpamakannya dengan seorang ibu. Pemimpin mesti ada sifat penyayang, menjaga rakyat dengan baik, sanggup berjaga malam kerananya, tenang apabila rakyatnya diam, gembira bila rakyatnya sihat, rungsing bila rakyatnya sakit.

Pemerintah juga seperti penjaga anak yatim yang kehilangan tempat bergantung, tempat mengadu hal. Jika Nabi SAW menjamin penjaga anak yatim dapat duduk dekat dengan Nabi di syurga, maka pemerintah yang adil terhadap rakyatnya akan mendapat naungan Arasy di akhirat nanti.

Pemerintah juga seperti pengurus wang orang miskin. Harta negara itu bukan hak peribadi, boleh dibuat sewenang-wenangnya. Yang berhak terima, diberi. Yang berhak dibantu, ditolong apa yang patut.

Nabi SAW dalam hadis bahawa dalam tubuh itu ada anggota yang menjadi induk dan asas kepada anggota lain, iaitu hati. Pemerintah yang membaiki hatinya dengan sifat mahmudah, dirinya akan menjadi baik terhadap rakyat. Bila dia baik, rakyat akan menjadi baik.

الرعية على دين ملوكهم

Rakyat menurut agama pemerintah mereka.

Nasihat Al-Hasan al-Basri wajar diambil juga oleh kita, terutama mereka yang diberi amanah menjadi pemimpin. Apabila sifat-sifat baik diamalkan, layaklah mereka mendapat naungan Arasy Allah di akhirat, sekalipun tidak mendapat gelaran dan darjah kebesaran di dunia ini. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.


Whats-App-Image-2023-06-06-at-5-54-25-PM

Scroll to Top