Pemimpin adil tunai amanah, ingat akhirat

Pemimpin adil tunai amanah, ingat akhirat

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 78)

Advertisement

KITA masih melihat nasihat yang diberi oleh Al-Hasan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz. Antara nasihatnya lagi ialah:

والإمام العدل يا أمير المؤمنين هو القائم بين الله وبين عباده، يسمع كلام الله ويسمعهم، وينظر إلى الله ويريهم، وينقاد إلى الله ويقودهم. فلا تكن يا أمير المؤمنين فيما ملّكك الله عز وجل كعبد ائتمنه سيده، واستحفظه ماله وعياله، فبدد المال وشرد العيال، فأفقر أهله وفرق ماله.

و اعلم يا أمير المؤمنين أن الله أنزل الحدود ليزجر بها عن الخبائث والفواحش، فكيف إذا أتاها من يليها! وأن الله أنزل القصاص حياة لعباده، فكيف إذا قتلهم من يقتص لهم!

واذكر يا أمير المؤمنين الموت وما بعده، وقلة أشياعك عنده، وأنصارك عليه، فتزود له ولما بعده من الفزع الأكبر.

و أعلم يا أمير المؤمنين أن لك منزلاً غير منزلك الذي أنت فيه، يطول فيه ثواؤك، ويفارقك أحباؤك، يسلمونك في قعره فريدًا وحيدًا. فتزود له ما يصحبك {يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ . وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ . وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ} [عبس:34-36]

وذكر يا أمير المؤمنين {أَفَلَا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ . وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ} [العاديات:9-10]، فالأسرار ظاهرة، والكتاب لا يغادر صغيرة ولا كبيرة إلا أحصاها. فالآن يا أمير المؤمنين وأنت في مهل قبل حلول الأجل، وانقطاع الأمل.

Maksudnya: Pemerintah yang adil itu wahai Amir al-Mukminin, ialah orang yang menjalankan tugasnya antara Allah dan hamba-hamba-Nya. Dia mendengar kalam Allah dan memperdengarkannya kepada orang lain. Dia berhadap kepada Allah dan menjadikan orang lain berhadap kepada Allah. Dia taat kepada Allah dan membimbing mereka.

Justeru, janganlah engkau wahai Amir al-Mukminin, dalam perkara yang Allah berikan kepadamu, menjadi seperti seorang hamba yang diberi amanah oleh tuannya, yang meminta menjaga harta dan keluarganya, lalu dia memboroskan harta dan membiarkan keluarga. Keluarga menjadi fakir dan harta rosak-binasa.

Ketahuilah wahai Amir al-Mukminin! Allah menurunkan ayat hukum hudud supaya ditahan dari perkara buruk dan keji. Bagaimana agaknya jika ia dibuat oleh pemerintah? Allah menurunkan ayat qisas agar hamba-hambaNya dapat hidup dengan baik. Bagaimana jika orang yang sepatutnya membela orang yang dibunuh itu pula membunuh?

Wahai Amir al-Mukminin! Ingatlah kematian dan perkara selepasnya, sedikitnya pengikutmu di sisiNya, sedikitnya penolongmu di depan Allah. Maka carilah bekalan untuk kematian dan yang selepasnya bagi menghadap ujian akhirat yang besar.

Ketahuilah wahai Amir al-Mukminin! Kamu ada rumah lain dari rumah yang kamu duduki sekarang. Masa menunggunya lama nanti. Kamu berpisah dengan orang yang kamu kasih. Mereka membiarkanmu dalam lembah secara keseorangan, bersendirian. Carilah bekalan yang menjadi peneman untuk menghadapinya.

“يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ اَخِيْهِۙ وَاُمِّهٖ وَاَبِيْهِۙ وَصَاحِبَتِهٖ وَبَنِيْهِۗ”

Maksudnya: “Pada hari itu manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya.” (Abasa: 34-36)

Ingatlah wahai Amir al-Mukminin akan ayat:

اَفَلَا يَعْلَمُ اِذَا بُعْثِرَ مَا فِى الْقُبُوْرِۙ وَحُصِّلَ مَا فِى الصُّدُوْرِۙ

Maksudnya: “Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan, dan apa yang tersimpan di dalam dada dilahirkan?” (Al-Aadiyat: 9-10)

Lalu segala rahsia terlihat. Kitab suratan amal tidak meninggalkan yang kecil dan besar melainkan semuanya dihitung. Maka sekarang ini wahai Amir al-Mukminin, engkau masih ada tempoh sebelum tibanya ajal dan terputusnya harapan.

Merenung dan menilai ayat-ayat nasihat yang diungkap oleh Al-Hasan al-Basri sebenarnya membuatkan hati orang mukmin akan merasa gentar dan gementar. Nasihat ini tidak datang dari mulut, tetapi dari hati seorang alim yang beramal dengan ilmunya, takut akan Tuhan-Nya.

Beliau mengingatkan Umar bin Abdul Aziz tentang amanah besar yang mesti dipikul dan ditunaikan dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.

Untuk ingat kepada amanah dan tanggungjawab itu, disarankan membaca al-Quran dan menggalakkan masyarakat membacanya kerana ia dipenuhi dengan peringatan dari Allah mengenai semua perkara.

Antara tanggungjawab pemerintah ialah melaksanakan hukum hudud, iaitu untuk menjaga agama, nyawa, harta, akal dan zuriat. Juga wajib melaksanakan qisas. Justeru, pemerintah sendiri wajib menjaga dirinya dari terlibat dengan jenayah hudud dan qisas.

Hidup di dunia sementara. Pangkat, darjat, segala kelebihan tidak membawa apa-apa erti untuk dibawa ke akhirat melainkan digunakan untuk kebaikan, ditegakkan keadilan, diberikan hak kepada yang berhak dan ditunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi.

Nasihat ini untuk semua, bukan hanya kepada Umar bin Abdul Aziz sahaja. Ambillah pengajaran daripadanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Scroll to Top