
Tiada gambar terkini Mojtaba dikongsikan Iran sejak beliau dilantik sebagai pengganti bapanya pada 8 Mac lalu. – Foto Agensi
TEHERAN – Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan serius pada muka dan kakinya.
Pendedahan keadaan terkini beliau dibuat sumber rapatnya selepas Mojtaba Khamenei, 56, dilaporkan cedera teruk dalam serangan dilancarkan Amerika Syarikat (AS) pada fasa awal konflik yang turut mengorbankan beberapa ahli keluarga termasuk bapanya.
“Beliau mengalami kecacatan fizikal yang serius. Tetapi, beliau masih menjalankan tugasnya sebagai Pemimpin Agung dan menyertai mesyuarat bersama pegawai kanan melalui sidang video serta membuat keputusan mengenai isu utama seperti rundingan damai bersama Washington,” jelas sumber itu lagi.
Sebelum ini, banyak pihak berteka-teki tentang keadaan sebenar Mojtaba Khamenei selepas beliau tidak muncul di khalayak umum sejurus pelantikannya pada 8 Mac lalu,
Sehingga kini, tiada gambar, video atau rakaman video terbaharu memaparkan beliau dikongsikan Teheran.
Tiada kenyataan rasmi mengenai keadaan sebenar Mojtaba Khamenei, namun seorang pembaca berita di stesen TV tempatan menggunakan istilah ‘janbaz’ untuk merujuk kepada beliau yang lazimnya digunakan bagi menggambarkan individu yang cedera parah dalam peperangan. – Agensi



