Kuala Lumpur: Ketika kemelut politik di Perlis dilihat selesai dengan pelantikan Menteri Besar baharu hari ini, beberapa pemimpin PAS sebaliknya menzahirkan pandangan berbeza.
Ibarat membuka pekung di dada, rata-rata mereka menjadikan media sosial sebagai medium meluahkan wajah sebenar di sebalik kemelut politik yang melanda Perikatan Nasional (PN) di Perlis.
Bendahari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, sebagai contoh memuat naik status ringkas mengenai pengkhianatan yang disifatkan beliau tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum.
“Saya tak sedih tetapi gembira kerana sekarang kita tahu warna sebenar mereka. Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum,” katanya.
Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, status itu dipercayai ditujukan kepada BERSATU selaku rakan gabungan PAS dalam PN selepas Menteri Besar Perlis yang baharu dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU hari ini.
Polemik politik di Perlis berakhir apabila ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis baharu di Istana Arau.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara parti itu dengan BERSATU, tidak berapa lama selepas pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu selesai.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik kenyataan berunsur sindiran tegas kepada pihak tertentu yang dipercayai merujuk kepada BERSATU, melalui hantaran di Facebook.
Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” katanya melalui hantaran itu.
Sebelum ini Ahmad Fadhli menyarankan tindakan tegas BERSATU terhadap lima ADUN parti itu yang menarik sokongan kepada bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Ahmad Fadhli berkata, kegagalan BERSATU bertindak sedemikian akan menimbulkan keraguan terhadap kesediaan parti itu untuk meneruskan kerjasama dalam gabungan Perikatan Nasional.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, turut memberi gambaran bahawa parti itu seolah-olah mengakui berlaku perpecahan antara parti gabungan dalam PN.
“Apakah retak menanti belah,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, tiga ADUN PAS Perlis menyertai lima wakil rakyat BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, menyatakan tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.
Hasil Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, keahlian tiga ADUN PAS terbabit digugurkan berkuat kuasa serta-merta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




