Pemimpin politik, rakan Bung Moktar berkumpul di hospital

Pemimpin politik, rakan Bung Moktar  berkumpul di hospital

Kota Kinabalu: Pemimpin parti politik dan rakan-rakan Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkumpul di pekarangan sebuah hospital di sini, malam ini lokasi beliau berkenaan dirawat.

Antara yang kelihatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin yang juga Setiausaha UMNO Sabah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mereka ketika ditemui selepas melawat Bung Moktar bagaimanapun enggan mengulas mengenai situasi tersebut dan hanya memohon orang ramai mendoakan kesihatan pemimpin Umno Sabah itu.

Dalam pada itu, media sosial dibanjiri ucapan orang ramai yang mendoakan kesihatan Bung Moktar.

Ketua Penerangan Parti Warisan Datuk Mohd Azis Jamman mendoakan supaya Bung Moktar disembuhkan segera dan kuat dalam mendapatkan rawatan penyakitnya itu.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Masiung Banah berkata biarpun berbeza fahaman politik, mereka tetap sebahagian daripada rakan yang amat akrab bersama.

“Semoga beliau dianugerahkan kesihatan abadi. Doa kami turut mengiringi anggota keluarga beliau semoga dikurniakan ketenangan dan ketabahan dengan ujian Tuhan,” katanya yang juga ADUN Kuamut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top