Peminat rayu Sharif, Atu berdamai demi Zero

Peminat rayu Sharif, Atu berdamai demi Zero

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak, pengacara dan pelakon, Sharif Kadir Doli Sharif atau Sharif, 35, diminta terbuka hati untuk berbaik semula dengan adiknya bagi menyelesaikan kemelut melanda kumpulan Zero.

Menerusi hantaran video dimuatnaik di Instagram (IG) Sharif, baru-baru ini apabila dia muncul ‘miming’ lagu Bollywood, Mohabbatein, ramai netizen mendoakan kumpulan Zero dapat bersatu semula.

“Sebagai orang Sabah, kami sokong dari mula Zero bertiga. Jagalah hubungan keluarga, turunkan ego dan berbaiklah seperti biasa. Rindu tengok Zero yang dulu,” komen seorang netizen.

“Kalau ada Atu mesti lagi sedap,” tulis seorang lagi wargamaya meluahkan saranan positif kepada Sharif.

“Moga kembali silaturrahim antara kalian adik-beradik,” komen seorang pengguna media sosial.

“Suka dan love Zero… semoga Zero bersatu semula… pantang mundur kecuali operasi,” kata warganet.

Sebelum ini, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal, 33, mendedahkan isu kewangan dan masalah kerja yang dipendam lama menjadi punca utama keretakan hubungannya dengan Sharif.

Menurut Atu, konflik berkenaan sudah berlarutan sejak dua tahun lalu sehingga akhirnya ia disuarakan, namun berlaku beberapa faktor yang menggugat keharmonian mereka sebagai adik-beradik.

Katanya sebagai adik, dia hanya perlu permohonan maaf daripada Sharif, malah bersedia untuk mengetepikan ego demi menjernihkan hubungan dan menjaga nama baik keluarga.

Bagaimanapun, setakat ini Sharif mengambil pendekatan berdiam diri, namun didapati sibuk dengan aktiviti seni seperti terbabit penggambaran iklan acara bersama beberapa rakan selebriti lain.

Terdahulu, kumpulan Zero yang berasal dari Kudat, Sabah yang turut dianggotai Syaiful atau Melati menyertai program Raja Lawak musim keenam (RL6) pada 2012 dan dinobatkan naib juara.

Pada 2014, mereka muncul juara pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top