Spekulasi mengenai status hubungan penyanyi dan pelakon Amira Othman terus menjadi perhatian dan menyorot tumpuan warganet.
Belum pun reda desas-desus kononnya selebriti jelita itu bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, kini tular pula sebuah video yang menampilkan Amira dalam persalinan pengantin.
Soalan paling popular yang sering ditujukan kepadanya, “Bila nak kahwin?” seakan semakin ‘panas’ selepas kemunculan video tersebut.
Rakaman berdurasi 50 saat yang dimuat naik pengasas jenama HijabistaHub, Wanie Elena di Instagram, seolah-olah memberi bayangan ada sesuatu istimewa bakal berlaku.
Dalam video berkenaan, Amira kelihatan tersenyum manis, wajahnya berseri-seri, dan gerak tubuhnya penuh makna. Tidak hairan ramai peminat mula berteka-teki sama ada Amira benar-benar sedang menghitung hari menuju alam rumah tangga.
Tanpa sebarang kenyataan rasmi sekalipun, aura yang ditampilkan Amira cukup kuat untuk menimbulkan tanda tanya.
@wanieelena MasyaAllah berseri betul pengantin ni @Amira Othman ♬ Beautiful In White – Shane Filan
Ruangan komen juga pantas dibanjiri pelbagai reaksi, ada yang meneka tarikh, ada yang bergurau mahu menjadi perancang perkahwinan segera, malah tidak kurang juga yang menunggu penuh debar.
Malah, ada juga yang perasan huruf A dan F yang diletakkan di kad serta layah yang ditampilkan dalam video terbabit.
Lebih menarik, ekspresi spontan Amira seakan-akan memberi bayangan bahawa dirinya menyimpan rahsia besar. Sama ada benar bakal melangkah ke pelamin atau sekadar gimik manja, Amira jelas berjaya mencuri perhatian dan membuat peminat terus berteka-teki.
Apa pun situasinya, yang pasti kini nama Amira menjadi antara yang paling dinanti untuk membuat pengumuman rasmi. Persoalannya, adakah video ini hanya sekadar ‘teaser’, atau betul-betul petanda majlis akad nikah semakin hampir?
Difahamkan, satu sesi siaran langsung di TikTok bersama Amira dan pihak HijabistaHub akan diadakan pada 29 Ogos ini.