hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh yang ditahan atas dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja berusia 14 tahun akan dihadapkan di Mahkamah Ampang esok.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 22 tahun itu bakal berhadapan dua pertuduhan dan akan didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Suspek juga akan dituduh mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbit di Mahkamah Selayang pada Jumaat ini,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, pempengaruh terbabit ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.
Difahamkan, lelaki berusia 22 tahun terbabit hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, 22 Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd