am@hmetro.com.my
Georgetown: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM8,000 terhadap pempengaruh media sosial selepas didapati bersalah memiliki telefon bimbit curi milik bekas teman lelakinya pada April tahun lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhi hukuman itu terhadap Sarah Leo Ee May, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir perbicaraan penuh.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan dan tertuduh akan dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal bayar denda.
Mahkamah dalam keputusannya menyatakan keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian kosong dan rekaan semata-mata, manakala keseluruhan bukti menunjukkan tertuduh memiliki barangan curi seperti dalam pertuduhan.
Selain itu, permohonan pembelaan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak selepas mahkamah berpendapat alasan dikemukakan termasuk tanggungjawab menjaga ibu bapa tidak dianggap sebagai keadaan khas (special circumstances), bagi membolehkan mahkamah mengguna budi bicara menangguhkan pelaksanaan hukuman serta memerintahkan hukuman dilaksanakan serta-merta.
Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kes berkenaan melalui perbicaraan penuh dengan empat saksi pendakwaan dipanggil bagi memberi keterangan.
“Walaupun tertuduh tidak disabitkan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan seperti pertuduhan asal, sabitan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan tetap merupakan kesalahan serius kerana membabitkan harta curi yang mempunyai nilai serta kepentingan kepada pemilik asal.
“Saya juga mohon hukuman yang dijatuhi perlu bersifat pencegahan (deterrent sentence), bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengambil mudah kesalahan memiliki barangan curi.
“Hukuman seumpama itu penting bagi mencerminkan kepentingan awam dan mengelak persepsi bahawa kesalahan berkenaan boleh dipandang ringan,” katanya.
Sementara itu dalam rayuan mitigasi, peguam Cheah Eng Soon yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal, menanggung seorang anak perempuan dan mempunyai ibu menghidap kanser tahap serius serta memerlukan penjagaan rapi.
Beliau turut memohon mahkamah mempertimbang faktor kemanusiaan memandangkan tertuduh tiada rekod jenayah lampau, memberi kerjasama baik sepanjang siasatan serta menyesali perbuatannya.
Media pada 13 Jun tahun lalu melaporkan Sarah Leo didakwa mencuri telefon bimbit bernilai RM2,000 dalam sebuah kenderaan di lot parkir hospital di sini pada 26 April, mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, selepas perbicaraan penuh, mahkamah mensabitkannya mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




