Seorang pempengaruh media sosial ditahan polis selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan berhubung insiden pukul melibatkan seorang lelaki OKU mental yang tular baru-baru ini.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor pada jam 6.55 pagi tadi. Penahanan tersebut dilakukan susulan laporan yang diterima oleh pihak polis pada 23 Januari lalu.
Pempengaruh ditahan dan disiasat mengikut dua seksyen undang-undang…
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Jaafar, berkata suspek telah di bawa ke mahkamah dan polis berjaya mendapatkan perintah reman sehingga esok bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- Katanya.
Minggu lalu, rata-rata rakyat Malaysia terkesan dengan video tular yang memaparkan seorang lelaki OKU mental dipukul di hadapan orang ramai di Pasar Pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Insiden berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa secara tidak sengaja memasuki tapak jualan dan terlanggar sebuah gerai, menyebabkan barangan jualan terjatuh.
Perbuatan kejam itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai, dan pihak polis sebelum ini telah menahan beberapa individu yang disyaki terlibat untuk siasatan lanjut.




