Pempengaruh terkenal suka 'makan' mekap meninggal dunia

Pempengaruh terkenal suka 'makan' mekap meninggal dunia

Taipei City: Seorang gadis juga pempengaruh di Taiwan yang terkenal dengan video ‘mukbang’ kosmetik meninggal dunia dengan mengejut.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, kematian gadis dikenali Guava Beauty, 24, mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial China, dengan ada membuat andaian pempengaruh itu meninggal dunia akibat keracunan.

Berita kematian Guava Beauty turut disahkan keluarganya menerusi satu kenyataan.

“Dengan rasa dukacita, kami memaklumkan Guava Beauty meninggal dunia pada 24 Mei.

“Terima kasih kepada semua orang yang pernah menyukai, mengulas dan ketawa dengannya. Dia benar-benar menghargai semuanya,” katanya.

Guava Beauty mempunyai lebih 12,000 pengikut di media sosial dan terkenal dengan imejnya yang manis dan kecenderungannya berkongsi kandungan kreatif, termasuk video ‘mukbang’ solekan.

Antara video dikongsikannya adalah cubaan makan produk kecantikan seperti gincu, pemerah pipi, pelitup muka dan pad kapas.

Terbaru, dia mempromosikan pemerah pipi seperti jeli dengan mengatakan ‘jika kamu berani mengesyorkannya, saya berani memakannya’.

Dalam video itu, dia menggunakan pemerah pipi dan bibirnya, kemudian menggunakan garpu untuk memasukkannya ke dalam mulut dan mengunyahnya.

“Mari kita cuba. Ia rangup, seperti jeli agar-agar. Maaf, rasanya sangat teruk,” katanya.

Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi dengan segelintir daripadanya bimbang ia mengelirukan penonton, terutama penonton yang lebih muda, untuk mempercayai bahawa kosmetik selamat untuk dimakan.

“Tolong hentikan kelakuan seperti ini. Jika kamu menikmatinya, lakukan secara peribadi.

“Tapi jangan mempromosikan makan kosmetik. Ini adalah produk kimia,” tulis seorang netizen.

“Jika seseorang terpedaya dengan video kamu dan timbul masalah, adakah kamu akan bertanggungjawab?,” tulis seorang lagi netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top