Pempengaruh Vietnam atasi pencabar lain dalam ASIA2025

Pempengaruh Vietnam atasi pencabar lain dalam ASIA2025

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon dan pempengaruh media sosial dari Vietnam, Cindy dinobatkan sebagai Pempengaruh Terbaik pada majlis anugerah berprestij All Star Influencers Award (ASIA) 2025, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,000 (RM63,360) serta tiket penerbangan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Cindy atau nama sebenarnya Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, turut mencatat kemenangan berganda apabila diumum sebagai penerima trofi Pencerita Terbaik.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang sudah memilih saya.

“Wang kemenangan ini saya akan manfaatkan untuk kegunaan keluarga terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Tempat kedua dimenangi pencipta kandungan dari Indonesia, Sheren Nat, yang membawa pulang wang tunai AS$5,000 (RM21,120) berserta tiket penerbangan ke Dubai, manakala pempengaruh dari Kemboja, Rainne Dara pula di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai AS$3,000 (RM12,672) dan tiket penerbangan yang sama.

Sementara itu, trofi bagi kategori Kulinari Terbaik menjadi milik pencipta kandungan dari Thailand, Pep Kemika, yang menarik perhatian juri menerusi siri video kembara mencari makanan di Johor dan Pahang.

Kategori Suntingan Terbaik dimenangi pempengaruh dari Filipina, Herony yang dikenali dengan hasil video berkualiti tinggi dan teknik ‘transition’ kreatif.

Penganjuran ASIA 2025 menyaksikan lebih 100 penyertaan daripada pempengaruh dan pencipta kandungan mewakili 19 negara, termasuk Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Filipina.

Program berskala besar itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, sebagai usaha mempromosikan keindahan pelancongan negara serta menggabungkan inovasi digital dalam mengetengahkan bakat kreatif dari seluruh Asia dan Timur Tengah.

Sepanjang beberapa bulan penganjuran, lebih 80 pempengaruh dari 20 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, India, Pakistan, UAE, Arab Saudi dan Mesir menjelajah ke destinasi pelancongan utama di Malaysia seperti Melaka, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Johor.

Melalui pelbagai cabaran digital dan kandungan kreatif yang dihasilkan, program ini berjaya mencapai lebih 1.3 bilion tontonan digital di pelbagai platform media sosial sekali gus mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 518 juta tontonan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top