Jakarta: Sebuah video tular memaparkan seorang pemuda berusia 19 tahun menjawat jawatan ketua RT (Rukun Tetangga) di Kampung Rawa Badak Selatan, Koja, Jakarta Utara.
Menurut portal Tribun News, pemuda itu, Sahdan Arya baru sahaja memegang jawatan itu selama dua bulan, namun tindakannya yang memberi impak besar kepada penduduk.
Dalam video yang tular, Sahdan kelihatan membaiki jalan rosak tanpa sebarang bantuan dana daripada kerajaan.
Semasa ditemu bual, Sahdan berkongsi sebab beliau bertanding dalam pemilihan ketua RT.
Beliau berkata, dirinya terdorong oleh hati yang ikhlas untuk memberi sumbangan nyata kepada masyarakat di sekelilingnya.
“Sebab saya nak jadi ketua RT adalah kerana dorongan hati saya dan mahu memberi manfaat kepada penduduk. Saya dibesarkan di sini, jadi saya mahu menyumbang kepada kawasan ini,” katanya pada Ahad seperti yang dipetik daripada TribunJakarta.com.
Sebagai sebahagian daripada Generasi Z, Sahdan mengambil peluang daripada pandangan masyarakat yang semakin positif terhadap kepimpinan anak muda.
Beliau melihat itu sebagai peluang untuk membuktikan bahawa golongan muda mampu ada wawasan dan bertanggungjawab.
“Ketika ini, masyarakat di tempat tinggal saya sudah mula menghapuskan stigma terhadap umur seseorang pemimpin kawasan,” katanya.
Selepas terpilih sebagai ketua RT pada Mei lalu, Sahdan bertindak pantas membaiki jalan-jalan yang rosak.
Menurutnya, dana untuk membaiki jalan itu datang daripada inisiatif penduduk dan bajet operasi RT sendiri.
“Malah, bajet operasi RT kami, semuanya disalurkan untuk pembangunan. Dalam tempoh dua bulan ini, kami langsung tidak ambil satu sen pun dana daripada BOP (Bantuan Operasi Penyelengaraan),” tegasnya.
Sepanjang menjawat jawatan ketua RT, Sahdan turut dibantu oleh dua rakannya iaitu Vemmas Wahyu Rianto, 20, sebagai setiausaha RT dan Riski Saputra, 21, sebagai bendahari RT.
Difahamkan, Arya kini adalah penuntut semester kelima di Universiti Muhammadiyah Jakarta, dan Vemmas menuntut di Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Indonesia, Jakarta, manakala Riski adalah pekerja swasta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




