Pemuda catat rekod dunia selesaikan 211 kiub rubik sambil melompat dengan kayu

Halifax, Kanada: Seorang lelaki dari Nova Scotia berjaya merealisasikan cita-citanya untuk tersenarai dalam buku Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas menyelesaikan 211 kiub rubik sambil melompat menggunakan kayu, lapor United Press International.

Penuntut dari Annapolis Royal, Saul Hafting, 21, berusia 16 tahun ketika mencabar rekod bagi jumlah kiub rubik paling banyak diselesaikan sambil melompat pada 2021.

Rekodnya menyelesaikan 211 kiub rubik itu disahkan pada 2022 sekali gus mengatasi rekod terdahulu sebanyak 65 kiub.

Pencapaian itu membolehkannya menerima sijil dan namanya disenaraikan di laman web GWR, namun kisahnya tidak diterbitkan dalam buku tahunan organisasi berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak pasti berapa lama rekod saya ini mampu bertahan,” kata Hafting kepada Annapolis Valley Register.

“Sekiranya rekod itu dipecahkan pada suatu hari nanti, saya tahu bahawa saya pernah memegangnya selama bertahun-tahun dan ia memberikan kepuasan,” katanya.

Hafting berkata, hanya pada awal tahun ini dia menerima emel daripada pegawai organisasi berkenaan yang memaklumkan pencapaiannya bakal ditampilkan dalam buku GWR 2027.

“Ia amat hebat. Saya sangat teruja untuk mendapatkan naskhah saya sendiri, menyelak helaian demi helaian dan melihat nama saya tercatat di dalamnya,” katanya.

Hafting berkata, dia juga tidak sabar untuk menyertai siri jelajah media bagi mempromosikan edisi terbaharu buku berkenaan.

“Saya berasa amat berbesar hati kerana mereka memilih saya. Rekod saya amat unik dan ia satu tontonan menarik sekiranya saya membuat demonstrasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top