Pemuda longlai dibelasah sekumpulan lelaki

Pemuda longlai dibelasah sekumpulan lelaki

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Seorang pemuda longlai selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah rumah yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang di sini.

Kejadian itu tular di Facebook (FB) menunjukkan beberapa video mangsa dibelasah secara berterusan tanpa belas ihsan oleh kira-kira lima hingga tujuh lelaki lain.

Berdasarkan video tular berdurasi 35 saat dan satu minit 22 saat itu, mangsa dipegang beberapa individu, sebelum ditumbuk dan disepak pada bahagian muka, dada serta anggota badan lain.

Salah satu video turut memaparkan salah seorang daripada mereka menumbuk dan menendang alat sulit mangsa.

Menerusi video itu juga, mangsa dilihat tidak melawan dan kelihatan lemah serta meronta kesakitan selain hidung kelihatan berdarah.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan sekumpulan remaja itu dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian itu segera.

Sementara itu, difahamkan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung itu terbabit dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top