Pemuda Pas Selangor tubuh Gerakan Daulat

Pemuda Pas Selangor tubuh Gerakan Daulat

SHAH ALAM: Dewan Pemuda Pas Selangor menubuhkan Gerakan Massa Gabungan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam dan Institusi Diraja (Daulat) bagi mendepani isu-isu kebiadaban terhadap agama Islam dan institusi diraja.

Organisasi bukan kerajaan (NGO) itu akan menggabungkan pertubuhan-pertubuhan bersama tokoh-tokoh politik dalam bertindak balas terhadap percubaan memburukkan institusi diraja serta mempertahan identiti negara.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penubuhan Gerakan Daulat menyasarkan pendedahan kepada golongan muda tentang peranan institusi diraja dan kepentingan mempertahankannya.

“Dengan tertubuhnya gerakan itu, kita tidak akan memberi peluang lagi kepada mana-mana pihak yang cuba mencabar institusi diraja khususnya di Selangor dan amnya seluruh negara.

“Dalam masa sama, gerakan itu akan bertindak dari semasa ke semasa kerana melihat sudah ada perancangan yang besar sedang bergerak untuk memburukkan institusi diraja. Pemuda (Pas) tidak akan berdiam diri,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada Istana Bukit Kayangan sempena Himpunan Daulat Tuanku di sini, hari ini.

Sekurang-kurangnya, 5,000 peserta mewakili lebih 300 NGO serta parti politik seperti Pas, UMNO, Parti Bumiputera Perkasa (Putra) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hadir ke perhimpunan yang diadakan dekat Persiaran Sultan di hadapan pintu masuk utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Antara tokoh yang hadir seperti Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri; Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Selain itu, tokoh lain turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin dan Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh.

Sementara itu, Mohd. Imran memberitahu UMNO Selangor masih menyokong kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari namun meminta beliau menyatakan ketegasan pendirian berhubung isu tersebut dalam kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Sebagai ketua kerajaan, beliau perlu ambil tindakan yang lebih tegas khususnya kepada ADUN Seri Kembangan (Wong Siew Ki) sesegera yang mungkin dalam pentadbirannya.

“Kita tidak mahu lagi ada isu-isu sedemikian khususnya dalam media sosial. Kita tak mahu ada normalisasi, mengolok, mengejek dan mempersenda sehingga ada gambar-gambar yang disunting dan sebagainya. Kita kena didik generasi akan datang untuk mendukung dan hormat kedaulatan institusi diraja,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top