am@hmetro.com.my
Melaka: Polis menahan pemuda disyaki memukul lelaki warga emas dengan topi keledar hingga rebah di Cheng, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya sebelum itu mengesan video kejadian yang tular di media sosial dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku di persimpangan masuk Taman Cheng Utama, di sini.
Katanya, kejadian dilapor berlaku pada 27 Mac dengan pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya.
“Ia membawa kepada insiden fizikal dengan suspek berusia 27 tahun bertindak memukul mangsa berusia 52 tahun menggunakan topi keledar.
“Mangsa telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bagi memberikan keterangan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Christopher berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala suspek sudah ditahan dan motosikal, topi keledar dan pakaiannya dirampas.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil atau menghubungi balai polis terdekat untuk bantu siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd