Kuala Lumpur: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menjadikan pemulihan sektor pendidikan anak-anak mangsa konflik berikutan pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya, sebagai sasaran utama Misi Kemanusiaan Afghanistan 2025 selama 10 hari bermula semalam.
Misi bantuan kemanusiaan yang memfokuskan beberapa kawasan di sekitar Kabul, ibu negara Afghanistan, Herat iaitu bandar sempadan Afghanistan-Iran dan beberapa kawasan lain di negara yang kini dikuasai oleh pejuang Taliban selepas beberapa dekad diceroboh oleh beberapa kuasa besar dunia.
Penasihat MyCARE Johor, Dr Mohd Zin Kandar, berkata bantuan keseluruhan berjumlah lebih RM1 juta akan disalurkan kepada pelbagai kategori penerima dalam misi yang dilaksanakan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Afghanistan, iaitu Human Assistance Society (HAS).
Menurutnya, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan rakyat Malaysia dari seluruh negara.
“Selain pembinaan sekolah, beberapa bantuan kemanusiaan lain akan turut disampaikan termasuk projek pemerkasaan ekonomi rakyat Afghanistan melalui pemberian bantuan peralatan dan kewangan bagi memulakan aktiviti yang menjana pendapatan tetap,” katanya ketika majlis pelepasan misi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Misi kemanusiaan di bumi Afghanistan yang pernah diceroboh dan dijajah oleh beberapa kuasa besar dunia, terutama Amerika Syarikat dan sekutunya, selama beberapa dekad, disertai 10 anggota termasuk wakil media.
Dr Mohd Zin berkata, selain sektor pendidikan, pihaknya akan mengagihkan bantuan kecemasan seperti pek makanan keluarga, makanan panas dan wang tunai kepada penduduk Afghanistan yang menghadapi pelbagai kesulitan akibat peperangan yang berlarutan sekian lama.
“Selain itu, bantuan kecemasan kepada pelarian-pelarian Afghanistan yang berada di sempaan Iran-Afghanistan, bantuan perubatan dan kesihatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd