mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pemuzik, Harry Aziz yang dikejarkan ke hospital akibat pengsan dan serangan strok tiga hari lalu, semakin baik.
Kakaknya, penyanyi Azura Aziz berkata, mereka bersyukur adiknya mengalami banyak perubahan selepas dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Dia dah mula buat fisio dan rehab serta dah boleh mula makan bubur tiga kali sehari tapi masih dalam peringkat percubaan.
“Tekanan darah pun okey. Kaki dan tangan kiri semua dah boleh angkat berbanding Rabu lalu. Kekuatan dah bertambah baik.
“Sebelum ini ada pendarahan sikit di dalam otak, tapi alhamdulillah sudah berkurangan dan tidak memerlukan pembedahan,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Azura berkata, kejadian berlaku pada tengahari selepas Harry makan di restoran berdekatan studio miliknya di Pandan Indah.
“Dia terus dihantar ke hospital oleh pekerja yang bersamanya. Sekarang dia perlu berehat sehingga betul-betul pulih.
“Saya mohon rakan-rakan dan sesiapa yang mengenali Harry agar mendoakan kesembuhannya,” katanya.
Harry memulakan kariernya dalam seni apabila menganggotai kumpulan Sleeveless pada 1998.
Dia juga sering mengiringi persembahan artis-artis popular sebagai pemain drum serta menganggotai band Biso Bonar dibawah Datuk Hattan.
Harry juga terkenal menerusi lagu cover She’s Gone.
© New Straits Times Press (M) Bhd



