Penafian kebuluran Gaza hancurkan hati ibu ini

Penafian kebuluran Gaza hancurkan hati ibu ini

Montreal: Seorang ibu berketurunan Palestin-Kanada, Faiza Najjar, berjaya meninggalkan Gaza tahun lalu, tetapi tidak dapat membawa bersama empat anak perempuannya yang sudah dewasa.

Dari jauh, beliau hanya mampu memerhatikan krisis kekurangan makanan di wilayah itu bertambah buruk.

Di Kanada, tempat beliau tinggal bersama enam anaknya yang lain, Najjar berusaha selama berbulan-bulan untuk membawa keluar mereka yang ditinggalkan di Gaza.

Beliau akhirnya dapat memeluk anak-anak perempuan dan tujuh cucunya apabila mereka tiba di lapangan terbang Toronto bulan lalu.

Namun, apabila klip pertemuan semula yang emosional itu disiarkan di media sosial, akaun pro-Israel mengejek penampilan fizikalnya dengan mengatakan ia menyangkal dakwaan kebuluran di Gaza.

“Sebagai seorang ibu, ia menghancurkan saya,” kata Najjar, 50, kepada AFP.

Najjar tidak pernah mendakwa bahawa beliau kelaparan ketika berada di Gaza.

Namun, baru-baru ini pada hujung minggu lalu, satu hantaran yang dilihat lebih 300,000 kali di pelbagai platform mempersendakannya, dengan secara silap membayangkan beliau baru sahaja meninggalkan Gaza.

“Adakah anda melihat bagaimana rupa wanita itu?” kata penghantar itu, sambil menunjukkan Najjar tidak kelihatan kekurangan zat makanan.

Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran sedang berlaku di Gaza, dengan Israel menyekat kemasukan bantuan secara teruk.

Imej kanak-kanak Palestin yang sakit dan kurus kering telah mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Dakwaan itu dinafikan oleh Israel. “Tiada kebuluran di Gaza,” kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bulan lalu.

Ejekan yang dihadapi Najjar adalah sebahagian daripada trend yang lebih meluas.

Penyampai berita Israel di Channel 14 yang berhaluan kanan kadangkala digambarkan sebagai Fox News versi Ibrani pernah mentertawakan ibu-ibu yang obes, dengan mendakwa mereka mencuri makanan anak-anak mereka.

Bagi Najjar, hakikat bahawa pertemuan semula keluarganya terperangkap dalam kempen maklumat salah amat memusnahkan.

“Selepas semua penderitaan, kehilangan segala-galanya, dan hampir mati, sesetengah orang masih tergamak untuk mengejek mereka,” katanya merujuk kepada keluarganya.

“Anak-anak perempuan saya tinggal di sana dan anak-anak mereka tidur dalam kelaparan… dengan bunyi bom di luar khemah mereka,” kata Najjar.

Pengulas pro-Israel dalam talian turut memberi tumpuan kepada penampilan cucu-cucunya yang kelihatan sihat.

Najjar memberitahu AFP bahawa mereka menerima rawatan perubatan, termasuk pemulihan pemakanan, di sebuah hospital di Jordan sebelum terbang ke Kanada.

Mert Can Bayar, seorang felo pasca kedoktoran di Pusat Maklumat Awam di Universiti Washington, berkata hantaran yang menyasarkan Najjar hanyalah “secebis kecil” daripada naratif dalam talian yang mengelirukan.

Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow, memadamkan video yang disiarkannya di Instagram yang menunjukkan beliau menyambut kedatangan warga Palestin kerana komen-komen jelik yang ditujukan kepada keluarga itu.

Komen pada video Chow juga memetik penampilan fizikal keluarga itu untuk menolak secara meluas dakwaan kebuluran di Gaza.

Chatbot Grok milik X juga salah mengenal pasti sekeping gambar AFP 2025 yang menunjukkan seorang kanak-kanak kurus kering di Gaza, dengan salah menyatakan ia diambil di Yaman tujuh tahun lalu, sekali gus mencetuskan dakwaan lanjut bahawa laporan mengenai kebuluran di Gaza adalah rekaan.

Valerie Wirtschafter, seorang felo di Institusi Brookings, sebuah badan pemikir, berkata dakwaan itu mengingatkan kepada kepalsuan yang muncul beberapa minggu selepas perang bermula, yang mendakwa rakyat Palestin berlakon sebagai ‘pelakon krisis’ dan mereka-reka kecederaan mereka.

Wirtschafter berkata naratif palsu itu “mengalihkan perhatian daripada kemudaratan kemanusiaan sebenar yang sedang berlaku sekarang.”

Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 61,430 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza, angka yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

Serangan Hamas pada Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan perang, mengakibatkan kematian 1,219 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi. Empat puluh sembilan daripada 251 tebusan yang diambil oleh Hamas masih ditahan di Gaza, termasuk 27 yang menurut tentera Israel sudah meninggal dunia.

Ketika Najjar meninggalkan Gaza tahun lalu, anak-anak perempuannya semuanya dalam lingkungan umur 20-an tidak mempunyai kewarganegaraan Kanada.

Dengan keluarga yang terpisah, beliau hidup dalam ketakutan yang membayangkan kemungkinan menerima berita bahawa mereka terbunuh.

Walaupun anak-anak perempuannya kini mempunyai kewarganegaraan dan berada di Kanada bersama anak-anak mereka, menantu lelakinya masih berada di Gaza, yang mana Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu PBB menyatakan “kelaparan, kekurangan zat makanan, dan penyakit yang meluas mendorong peningkatan kematian berkaitan kelaparan.”

“Saya hanya mahu dunia tahu krisis ini benar,” kata Najjar kepada AFP. “Penafian itu membunuh.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top