am@hmetro.com.my
Tawau: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan siasatan sepenuhnya berhubung penahanan empat bekas pegawai kanan yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana disyaki terbabit rasuah.
Beliau yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan lengkap berdasarkan segala proses perundangan yang ada.
“Kita harap mereka (SPRM) dapat menjalankan siasatan dan melakukan keadilan dan kita harap kredibiliti selama ini adalah sesuatu yang menjadi garis utama yang menjadi integriti SPRM.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan tangkapan empat pegawai kanan terbabit termasuk dua yang individu yang mempunyai gelaran Datuk.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) untuk menentukan tarikh yang bersesuaian bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan penyandangnya, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada Sabtu.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam Shahruddin yang telah meninggal dunia dan sudah tentunya kami turut berdukacita, mudah-mudahan keluarga beliau bersabar menerima takdir ini.
“Pagi tadi, saya juga telah menghubungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar kekosongan kerusi terbabit dimaklumkan kepada SPR bagi menentukan tarikh yang sesuai bagi mengadakan PRK tersebut.
“Kami tidak tergesa-gesa untuk melakukannya, namun oleh kerana bulan Ramadan terlalu hampir, tentunya kita mengharapkan tarikh yang akan dipilih oleh SPR ini satu tarikh yang dapat disesuaikan dengan keadaan bulan Ramadan,” katanya.
-ends/
Caption :
TAWAU 23 FEBRUARI 2025. Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera UMNO pada sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34, di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
From: Ar
© New Straits Times Press (M) Bhd




