Penahanan Ketua Editor, Timbalan Ketua Penyunting ikut undang-undang – Fahmi

Penahanan Ketua Editor, Timbalan Ketua Penyunting ikut undang-undang – Fahmi

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tindakan polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan, dibuat berlandaskan undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata PDRM mempunyai kuasa mengikut undang-undang bagi menjalankan siasatan berhubung isu yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu.

Katanya, siasatan terhadap isu ini dijalankan dari tiga sudut berbeza yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kesalahan pertama dikesan melalui edisi cetakan Sin Chew, maka siasatan awal dilakukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang dikuatkuasakan oleh KDN.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta beberapa akta lain yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM.

“Justeru, sebarang penahanan bagi membantu siasatan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sri Skudai di sini, hari ini.

Terdahulu, Fahmi ditanya mengenai kenyataan Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy yang kesal dengan tindakan polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Memetik laporan sebuah portal Ramasamy menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan memalukan.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan serta Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pembabitan MCMC dalam siasatan juga dianggap relevan, susulan Sin Chew turut menerbitkan kandungan melalui platform digital seperti e-paper.

“Dalam isu ini, dua kementerian dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan.

“Keputusan akhir akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut sama ada pendakwaan di mahkamah atau langkah lain,” katanya.

Pada 17 April lalu, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily, ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Mandarin itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera terbabit tidak lengkap susulan ketiadaan bulan sabit.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dilaporkan bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top