Penalti lewat Hojlund selamatkan Napoli di Genoa

Penalti lewat Hojlund selamatkan Napoli di Genoa

Rome: Rasmus Hojlund muncul wira Napoli apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk menghadiahkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Genoa, sekali gus memastikan juara bertahan itu terus kekal dalam persaingan kejuaraan Serie A, awal pagi tadi.

Penyerang Denmark itu menjaringkan dua gol dalam perlawanan di Stadium Luigi Ferraris, dengan rakan sepasukan yang juga bekas pemain Manchester United, Scott McTominay, turut mencatat nama selaku penjaring.

Kemenangan itu membolehkan Napoli kendalian Antonio Conte kekal di tangga ketiga, dengan kemenangan kedua berturut-turut mereka merapatkan jurang kepada enam mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan yang dijadualkan berdepan Sassuolo, esok.

Genoa terlebih dulu mengejutkan Napoli seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti Ruslan Malinovskyi. Namun, dua jaringan dalam tempoh kurang dua minit mengubah momentum perlawanan apabila Hojlund menyamakan kedudukan sebelum McTominay meletakkan Napoli di depan pada pertengahan babak pertama.

Situasi bertukar tegang buat Napoli pada separuh masa kedua apabila Lorenzo Colombo memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk menyamakan kedudukan sebelum Juan Jesus dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Bagaimanapun, kekasaran Maxwel Cornet di dalam kotak penalti memberikan peluang kepada Hojlund untuk menjadi penyelamat, dengan penyerang itu tenang menyudahkan sepakan penalti sekali gus menambah koleksi golnya kepada 12 gol dalam 30 penampilan semua pertandingan musim ini.

Sebagai rekod, Hojlund kini sudah mengumpul lapan gol liga daripada 20 perlawanan Serie A.

Namun, kemenangan itu sedikit tercalar apabila McTominay terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sejurus tamat babak pertama, menambah senarai panjang pemain Napoli yang terpaksa diketepikan.

Conte sebelum ini sudah kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Frank Anguissa dan kapten pasukan Giovanni Di Lorenzo.

Dalam satu lagi perlawanan lain, Torino bangkit mencuri satu mata selepas Guillermo Maripan menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk mengikat Fiorentina 2-2, keputusan yang menyaksikan Fiorentina kekal di kelompok tiga terbawah liga.

AC Milan yang berada di tangga kedua dijadualkan menentang Como pada 18 Februari dalam perlawanan yang ditangguhkan susulan penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan Cortina, manakala Juventus bakal melayani Lazio, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top