Budapest: Penalti Dominik Szoboszlai pada minit kesembilan masa kecederaan membolehkan Hungary meraih keputusan seri 1-1 menentang Jerman di Budapest, awal pagi tadi.
Selepas separuh masa pertama yang hambar, Jerman yang melakukan banyak pertukaran memandangkan sudah pun mengesahkan kedudukan teratas kumpulan, dilihat bakal meraih kemenangan menerusi gol Felix Nmecha pada minit ke-76.
Namun, pada saat-saat akhir masa kecederaan, pengadil memberikan penalti kepada tuan rumah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pertahanan Jerman, Robin Koch, menyentuh bola dengan tangan di dalam kotak penalti.
Kapten Hungary, Szoboszlai dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti dengan gaya Panenka, sekali gus memastikan satu mata untuk pasukannya.
Pemain tengah Jerman, Robert Andrich meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu.
“Sekali lagi isu bola terkena tangan. Apa yang boleh dia buat dengan tangannya? Dia cuba menjauhkan tangannya. Sangat mengecewakan.
“Jika meraih kemenangan, perasaan kami lebih baik ketika tempoh rehat, tetapi kami tetap berpuas hati dengan apa yang dicapai pada 2024 dan akan memulakan semula kempen pada Mac depan,” katanya.
Dengan undian Liga Negara-Negara dijadualkan berlangsung Jumaat ini, Jerman berkemungkinan bertemu Croatia, Itali, atau Denmark.
Walaupun meraih mata, Hungary kekal di tempat ketiga dalam kumpulan dan menuju ke aksi playoff.
Kemenangan besar 7-0 Jerman ke atas Bosnia dan Herzegovina pada sebelum ini sudah mengesahkan kedudukan teratas serta penampilan pertama mereka dalam pusingan kalah mati Liga Negara-Negara, membolehkan jurulatih, Julian Nagelsmann merehatkan Florian Wirtz dan Jamal Musiala.
Kedua-dua pemain berusia 21 tahun itu menjadi tonggak penting Jerman, apabila menyumbang lima gol dan enam bantuan gol dalam lima perlawanan Liga Negara-Negara musim ini.
Ketiadaan pasangan bintang itu menyebabkan pasukan pelawat tampak tempang ketika menentang Hungary yang tidak mengenal erti berputus asa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




