Penalti Zaragoza lebur Switzerland

Penalti Zaragoza lebur Switzerland

Tenerife, Sepanyol: Bryan Zaragoza menjaringkan penalti pada lewat perlawanan untuk membantu juara Euro 2024 Sepanyol menewaskan Switzerland 3-2 dalam saingan Liga Negara-Negara Uefa, awal pagi tadi.

Juara kejohanan yang kedudukan mereka di puncak Kumpulan A4 tidak tergugat, dua kali mendahului lawan tetapi berjaya disamakan Switzerland yang sudah pun tersingkir di Tenerife.

Ia perlawanan pertama Sepanyol di pulau itu dalam tempoh 28 tahun dan penyokong mereka berpesta selepas penalti minit Zaragoza menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

Jurulatih Luis de la Fuente merombak keseluruhan barisan kesebelasan yang menewaskan Denmark Sabtu lalu yang menyaksikan pertahanan tengah Athletic Bilbao Aitor Paredes beraksi kali pertama untuk negaranya.

Yeremi Pino membuka tirai jaringan untuk Sepanyol pada minit ke-32 selepas penalti Pedri diselamatkan penjaga gol lawan, Yvon Mvogo.

“Di sini di tempat sendiri dengan jaringan dan kemenangan, tiada apa lagi saya boleh minta,” kata Pino kepada TVE. “Ia perlawanan sangat istimewa, terima kasih penyokong.”

De la Fuente turut memasukkan seorang lagi muka baharu pada babak kedua iaitu penyerang Porto, Samu Aghehowa.

Joel Monteiro menyamakan kedudukan buat Switzerland beberapa minit kemudian tetapi Bryan Gil kembali meletakkan Sepanyol di depan.

Andi Zeqiri kembali mengikat kedudukan menerusi penalti selepas kekasaran dilakukan Fabian Ruiz pada minit ke-85 tetapi Zaragoza memastikan Sepanyol menamatkan kempen tahun ini dengan cemerlang.

Pemain sayap itu yang dipinjamkan ke Osasuna dari Bayern, meluru masuk ke dalam kotak penalti tetapi dijatuhkan Vincent Sierro. Zaragoza kemudiannya menyempurnakan sepakan yang diraikan dengan gegak gempita penyokong mereka di Tenerife.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top