Penamat kisah penuh kejutan

Penamat kisah penuh kejutan

najiy.jefri@hmetro.com.my

Musim ketiga dan terakhir siri global popular Squid Game akhirnya diberikan tarikh tayangan rasmi.

Menurut laporan agensi berita Yonhap, platform penstriman Netflix mengumumkan musim terbaharu itu mula ditayangkan pada 27 Jun depan.

Pengumuman ini pastinya menggembirakan peminat setia yang sudah lama menantikan kesinambungan kisah penuh mendebarkan itu.

Kejayaan besar Squid Game sejak musim pertama menjadikannya antara siri paling ikonik dalam sejarah Netflix.

Untuk rekod, musim kedua mengambil masa tiga tahun tiga bulan untuk diterbitkan selepas musim pertama ditayangkan pada September 2021.

Namun, bagi musim ketiga, Netflix memilih untuk menjalankan penggambaran secara serentak dengan musim kedua, membolehkan ia dilancarkan dalam tempoh yang lebih singkat.

Musim ketiga ini akan menjadi penamat kepada kisah yang penuh kejutan dan ketegangan. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai episod musim ketiga masih dirahsiakan.

Bagi meningkatkan keterujaan peminat, Netflix turut mendedahkan poster promosi serta beberapa imej eksklusif daripada musim terbaharu ini.

Imej itu memberikan gambaran awal mengenai apa yang bakal berlaku kepada Gi-hun (lakonan Lee Jung Jae), watak utama siri ini serta musuh misterinya, Front Man (Lee Byung Hun).

Selain itu, peminat juga dapat melihat beberapa watak lain yang masih terperangkap dalam permainan yang penuh kengerian dan bahaya.

Misteri serta konflik antara watak dijangka menjadi elemen utama yang terus mengekalkan intensiti penceritaan dalam musim terakhir ini.

Pencipta, penulis dan penerbit eksekutif siri ini, Hwang Dong Hyuk turut berkongsi keterujaannya terhadap penamat kisah Squid Game.

Hwang menyatakan dia gembira melihat idea yang dimulakan sejak musim pertama kini berkembang dan bakal mencapai penghujungnya.

“Saya teruja melihat benih yang ditanam dalam mencipta Squid Game berkembang dan akhirnya membuahkan hasil melalui pengakhiran kisah ini.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membawa satu lagi pengalaman yang mendebarkan buat anda,” tulisnya dalam satu kenyataan.

Meneruskan cerita dari musim kedua, musim ketiga menceritakan pilihan yang akan dibuat oleh Gi-hun dalam menghadapi keputusan yang luar biasa.

Sementara Front Man merancang langkah seterusnya, pemain yang masih hidup mendapati keputusan mereka membawa akibat yang semakin serius dengan setiap pusingan permainan maut itu.

Squid Game: Musim 2 menjadi yang paling banyak ditonton di Netflix sepanjang masa, meraih 68 juta tontonan pada debutnya, sekali gus memecahkan rekod tontonan terbanyak dalam minggu tayangan perdana dan menduduki tempat pertama dalam senarai Top 10 TV Series (bukan Inggeris) di 92 negara.

Dengan bab terakhir yang sedang berkembang, musim ketiga dijangka memberikan penamat yang hebat dan tidak dapat dilupakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top