am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau dan menjalankan penguatkuasaan susulan penamatan subsidi telur ayam secara berperingkat.
Jaminan itu disuarakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil yang memaklumkan isu terbabit pernah dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
“Perkara ini (penarikan subsidi secara berperingkat) pernah dibincangkan (mesyuarat Jemaah Menteri) sebelum ini, tapi bukan (mesyuarat Jemaah Menteri) hari ini.
“Semestinya pihak KPDN dan juga KPKM akan terus memantau untuk pastikan tidak berlaku perkara tidak diingini (seperti kenaikan harga terlalu tinggi) termasuk dalam isu bekalan atau jualan telur ayam di pasaran,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
KPKM hari ini memaklumkan kadar subsidi telur ayam dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
Ia terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu yang mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitif.
Fahmi berkata, pada mesyuarat Kabinet sebelum ini, Jemaah Menteri diingatkan bahawa konsep subsidi untuk telur ayam wujud ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan terdapat masalah dari segi bekalan.
“Kita lihat hari ini dari segi stok, dari segi penghasilan, menunjukkan trend yang positif. Maka Jemaah Menteri berpandangan bahawa apa yang dicadangkan KPKM itu adalah wajar.
“Ia bukan sahaja dari segi penjimatan dari aspek subsidi itu sendiri, pada masa sama jumlah stok bekalan telur ayam pada waktu ini lebih daripada mencukupi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




