nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Penguatkuasaan di sempadan Kelantan-Thailand perlu diperkasa dengan penugasan anggota yang lebih ramai serta penambahan aset keselamatan bagi mengekang aktiviti rentas sempadan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata selain itu kerjasama bersepadu antara semua agensi dan kawalan lebih ketat amat diperlukan untuk memastikan sempadan negara tidak menjadi titik lemah yang mengundang ancaman kepada rakyat dan kedaulatan negara.
Katanya, sempadan di negeri Kelantan adalah sebahagian daripada sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand yang wajib dipertahankan dengan penuh ketegasan.
“Sempadan ini meliputi jarak kira-kira 105 kilometer (km) dengan sebahagian besarnya terdiri daripada aliran Sungai Golok yang memisahkan Kelantan dan wilayah Narathiwat di Thailand.
“Di negeri ini hanya terdapat tiga pintu masuk iaitu Rantau Panjang, Tumpat dan Jeli.
“Namun di sebalik pintu masuk rasmi itu wujud juga puluhan laluan tidak sah yang sering menjadi jalan bagi aktiviti rentas sempadan.
“Faktor geografi serta hubungan kekeluargaan di kedua-dua belah sempadan turut menjadikan kawasan ini lebih terdedah kepada risiko ancaman keselamatan.
“Justeru penguatkuasaan di sempadan perlu diperkasa dengan penambahan anggota, aset, kerjasama agensi yang berkaitan serta kawalan ketaf,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Tegasnya, kerajaan negeri Kelantan kekal komited untuk bekerjasama memastikan sempadan negara sentiasa terpelihara.
“Ini adalah tanggungjawab bersama demi melindungi kedaulatan negara, keselamatan rakyat serta masa depan nusa dan bangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd