Penampilan Bertudung Singkat, Berkain Jarang Jadi Perhatian… Nabila Razali Akui Masih Perbaiki Diri

Penampilan Bertudung Singkat, Berkain Jarang Jadi Perhatian… Nabila Razali Akui Masih Perbaiki Diri

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali menyedari penampilannya yang mengenakan tudung singkat serta busana jarang sejak kebelakangan ini menjadi perhatian dan perbualan dalam kalangan netizen.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, bagaimanapun mengakui dia berhati-hati ketika menjawab perkara itu kerana tidak mahu kenyataannya disalah tafsir.

“Saya agak berhati-hati untuk menjawab soalan ini kerana apa sahaja yang saya cakap, saya takut ia disalah tafsir.

“Tapi bagi saya sebagai anak seni, saya sentiasa berkarya bukan sahaja dari segi muzik, tetapi juga fesyen dan penampilan yang selari dengan lagu-lagu yang saya keluarkan,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, malam Selasa.

Menurut pelantun lagu Peluang Kedua itu, konsep penampilan yang diketengahkan kali ini dipilih bersesuaian dengan lagu raya baharunya berjudul Tak Sabar Nak Raya.

“Kali ini saya tampil dengan konsep sedikit retro kerana lagu raya saya ada ‘vibe’ retro.

“Jadi saya ikut konsep muzik tersebut dari segi penampilan, tetapi tidak bermaksud saya mengetepikan perkara yang salah,” katanya.

Dalam masa sama, Nabila menjelaskan setiap gaya yang ditampilkan bukan dipilih secara sendiri, sebaliknya melalui penilaian bersama pasukannya.

“Sudah tentu setiap kali saya tampil dengan sesuatu penampilan, saya akan ada rujukan. Satu pasukan akan menilai sama ada ia sesuai untuk saya ataupun tidak.

“Alhamdulillah, semuanya saya suka dan ia kena dengan gaya lagu yang dibawakan. Malah penari saya juga sedondon kerana kami mahu mengekalkan konsep muzik itu,” katanya.

Pada masa sama, Nabila tidak menafikan dirinya masih dalam proses memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Ada juga yang tegur saya secara terbuka, tapi saya tak ambil hati. Saya hanya manusia biasa dan masih mencuba untuk memperbaiki diri. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan cuba perbaiki lagi.

“Tapi buat masa sekarang, nikmati sahaja lagu Tak Sabar Nak Raya. Selepas ini akan ada lagu baharu dan penampilan baharu pula,” katanya.

Artikel Berkaitan: “Mungkin Mereka Pun Tak Ada ‘Point’” – Kelemahan Vokal Diungkit, Nabila Razali Tak Ambil Hati

Artikel Berkaitan: Nabila Razali Dedah Dihujani Kritikan Negatif, Akui Ingat Akaun Individu Komen Melampau – “Boleh Memaafkan, Tetapi Bukan Melupakan”

Scroll to Top