asyikin.mat@hmetro.com.my
Kepelbagaian warna, fabrik dan corak tali leher yang menarik menjadikan pemilihannya lebih menyeronokkan, tetapi ada kalanya membuatkan si pemakai sukar membuat pilihan tepat.
Tali leher membantu menyempurnakan penampilan, meningkatkan keyakinan, menambah seri pada pakaian lelaki dan mencerminkan personaliti mereka.
Namun begitu, ada faktor perlu dipertimbangkan apabila memilih dan memakai tali leher yang sesuai serta betul setiap masa.
i- Lebar tali leher
Lebar tali leher perlu diambil kira dan bagaimana ia selaras dengan keseluruhan penampilan lelaki.
Secara amnya, tali leher yang sesuai adalah sepadan dengan saiz pemakai.
Peraturan ini mudah difahami. Contoh, lelaki bertubuh kurus kelihatan kemas dengan tali leher nipis kerana ia seimbang dengan rangka badan mereka yang kecil.
Sebaliknya, lelaki bertubuh besar disarankan memilih tali leher lebih lebar.
ii- Panjang tali leher
Kedudukan hujung tali leher ialah di kepala tali pinggang dan tidak boleh melebihi had itu.
Secara purata, panjang tali leher biasanya berukuran antara 144 hingga 152 sentimeter (cm).
Manakala tali leher yang lebih panjang sehingga 160cm adalah untuk individu lebih tinggi atau yang mempunyai rangka badan lebih besar.Sentiasa pastikan tali leher berada kedudukan tepat kerana menyerlahkan penampilan kemas.
iii- Warna dan corak tali leher
Pilih tali leher bercorak kecil jika kemeja anda mempunyai corak besar dan begitu sebaliknya.
Apa sahaja corak yang dipilih, pastikan warna dominan kemeja menjadi warna tali leher.
Cara paling mudah untuk memadankan corak kemeja adalah dengan memilih tali leher bercorak sama dan sepadan warna dominan pakaian.
iv-Gaya ikatan tali leher
Gaya ikatan tali leher bergantung kepada majlis dan gaya yang ingin ditampilkan.
Gaya ikatan yang paling disyorkan adalah ‘ikatan Amerika’. Ia kelihatan semula jadi dan elegan serta sesuai dengan semua jenis kolar kemeja.
Sebenarnya, ikatan tali leher sering diabaikan. Ikatan tali leher yang tepat menjadikan kolar kemeja lebih kemas dan ini mempengaruhi penampilan keseluruhan anda.
v- Bentuk muka
Perkara lain perlu dipertimbangkan dalam memilih tali leher ialah bentuk muka.
Bagi bentuk muka bulat, dicadangkan ikatan tali leher yang ringkas, tetapi besar dan panjang.
Manakala mereka yang mempunyai muka berbentuk segi empat dan bujur lebih sesuai menggunakan ikatan lebih lebar.
Ikatan tali leher yang lebih nipis, sesuai untuk lelaki berwajah panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




