Penampilan Pertama di Kuala Lumpur! The Lantis Curi Tumpuan, Teruja Hiburkan Peminat Malaysia di Konsert Jiwa Kacau

Penampilan Pertama di Kuala Lumpur! The Lantis Curi Tumpuan, Teruja Hiburkan Peminat Malaysia di Konsert Jiwa Kacau

Band retro-pop sensasi dari Jakarta Selatan, The Lantis, akhirnya melangkah ke pentas antarabangsa apabila membuat kemunculan sulung mereka di Kuala Lumpur menerusi Konsert Jiwa Kacau baru-baru ini.

Terdiri daripada tiga anggota Giri (vokalis), Ravi dan Ojan (masing-masing sebagai gitaris), kumpulan ini berkongsi pentas dengan barisan nama besar dari dua negara, termasuk Wali, Kerispatih, Hujan, Bunkface dan Spider, sekali gus menandakan kemunculan yang cukup bermakna buat mereka di Malaysia.

Meskipun masih baru dalam pasaran muzik Malaysia, The Lantis berjaya mencuri perhatian peminat dengan setlist yang mantap serta interaksi mesra bersama penonton. Antara lagu-lagu yang mereka persembahkan termasuk Bunga Maaf, Ambang Rindu dan Lampu Merah, yang turut disambut dengan nyanyian dan sorakan daripada penonton yang nyata terhibur.

Menariknya, lagu hit mereka Bunga Maaf yang dilancarkan pada November 2024, masih kekal dalam carta Top Songs Malaysia dan kini berada di tangga ke-46.

“Ini mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan. Kami akhirnya tampil di luar negeri dan disambut dengan begitu hangat oleh penonton Malaysia adalah kebahagiaan yang tak bisa kami ungkapkan dengan kata-kata,” kata Giri mewakili The Lantis.

Ditubuhkan pada tahun 2020, nama The Lantis mula melonjak naik menerusi lagu Lampu Merah yang tular di pelbagai platform digital dengan jumlah streaming mencecah 96 juta.

Empat tahun kemudian, mereka mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri muzik Indonesia dengan lagu Bunga Maaf yang telah merekodkan lebih 161 juta jumlah streaming setakat ini.

Selain aktif dengan karya sendiri, The Lantis turut menyumbang suara untuk lagu Seperti Cemara dalam projek Musikal Keluarga Cemara 2025, yang dimuatkan dalam album kompilasi Lagu-Lagu Cemara (2025) dan telah dilancarkan pada 12 Jun lalu.

Scroll to Top