Penanam sayur menang Mitsubishi Xpander

Penanam sayur menang Mitsubishi Xpander

am@hmetro.com.my

Melaka: Seorang petani membawa pulang kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Xpander, selepas diumumkan pemenang Kempen Mega Million 2.0 Agrobank pada Majlis Cabutan Pusingan 1 dan 2 di bandar raya Melaka hari ini.

Tempawan Md Isa, 67 dari Batu Gajah Perak hanya mengalirkan air mata ketika namanya diumumkan dan menganggap semuanya rezeki ditentukan Allah biarpun mengakui sedih kerana tidak dapat dikongsi bersama suaminya yang meninggal dunia Ogos tahun lalu.

Menurutnya, arwah suaminya Baser Cha , 71 adalah insan paling berhajat untuk memenangi hadiah anjuran bank berkenaan namun hasrat tidak kesampaian selepas meninggal dunia tahun lalu.

Katanya, pada awalnya suami sering menyimpan wang hasil jualan kangkung, pucuk gajus, pucuk ubi dan pelbagai sayur lain di bank berkenaan sekali gus membolehkannya menyertai kempen berkenaan.

“Sebelum bertolak ke Melaka mak cik sempat menziarahi kubur suami dan menyatakan hajat arwah akhirnya termakbul.

“Memang sedih dan terharu kerana arwah tidak bersama mak cik pada hari ini, sudah ditakdirkan Ilahi. Apapun mak cik tetap bersyukur dan berkongsi kegembiraan bersama 9 anak, 25 cucu dan seorang cicit,” katanya yang menetap di Felcra Seberang Perak.

Dia menerima replika kunci daripada Ketua Pegawai Operasi Agrobank Zahid Ahmad Zawawi selepas memenangi cabutan pusingan 2, sementara Kang Boong Hui dari Port Dickson memenangi pusingan pertama dan turut memperoleh kenderaan berkenaan.

Hadiah lain yang turut disediakan adalah Proton S70 dan Perodua Myvi.

Sementara, pada akhir kempen seorang pemenang bertuah berpeluang memenangi hadiah cabutan utama iaitu, Ford Ranger Raptor.

Sementara itu, Zahid Ahmad Zawawi berkata, Kempen Mega Million 2.0 menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM2.5 juta dengan penyertaan kali ini lebih memberangsangkan selepas pencapaian kempen Mega Million terdahulu.

Katanya, pada kempen peringkat pertama, lebih 54,000 akaun baharu dengan nilai deposit melebihi RM290 juta berjaya dibuka.

“Kami melihat peningkatan positif untuk produk Agrobank sejak kempen ini berlangsung. Sebagai contoh, produk Takaful menunjukkan peningkatan langganan sebanyak 116 peratus, penulisan wasiat sehingga 114 peratus, pembiayaan Ar-Rahnu sehingga 177 peratus dan kelulusan Pembiayaan Peribadi AgroCash-i melebihi RM1 bilion.

“Kempen Mega Million 2.0 yang dilancarkan sejak 1 November 2024 akan berterusan sehingga 31 Oktober 2025.

“Ia terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank, termasuk individu dan bukan individu, antara produk terbabit adalah Ar-Rahnu, AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i, Takaful Kasih Plus, Agro Madani, Agro Nurani, Penulisan Wasiat dan Motor Takaful,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top