am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penanaman semula hutan di kawasan berbukit terutamanya kawasan terosot langkah penting untuk memulihkan ekosistem.
Profesor Kehormat Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Dr Mohd Nazip Suratman berkata, kawasan berbukit yang ditanam semula dapat berfungsi sebagai benteng semula jadi dengan menstabilkan cerun dan mengekalkan kitaran air.
“Apabila pokok ditanam, sistem akarnya bertindak seperti jaringan yang mengikat tanah agar lebih stabil. Ia juga menyerap serta menyalurkan air hujan, sekali gus mengurangkan takungan berlebihan yang sering mencetuskan tanah runtuh.
“Pokok yang matang dapat menahan kederasan hujan melalui kanopi, mengurangkan aliran permukaan serta melambatkan pergerakan air ke sungai. Ini secara langsung membantu kawasan tadahan lebih berdaya tahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Kajian dilakukannya pada tahun 2016 di kawasan ladang hutan Eucalyptus di Sipitang mendapati penyerapan karbon boleh mencecah sehingga 77.08 tan karbon per hektar (tC/ha) dengan usia hutan tanaman yang dikaji antara dua hingga lapan tahun menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam menyerap karbon.
“Kajian ini mengesahkan bahawa ladang hutan Eucalyptus bukan sahaja mampu menyediakan sumber kayu mampan malah turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
“Dengan potensi ini, ladang hutan boleh menyokong usaha Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050, penemuan ini diharap dapat meningkatkan minat pelabur dan pihak berkepentingan untuk mengembangkan ladang hutan sebagai sebahagian daripada strategi hijau negara,” katanya.
Menurut Felo Utama, Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD) UiTM itu, hutan yang sihat turut berfungsi sebagai ‘span semula jadi’ kerana tanahnya yang berliang mampu menyerap air dengan baik, penyerap karbon dengan menyimpan karbon dioksida dalam biomassa serta tanah, sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau dan pemanasan global.
“Proses ini membolehkan pelepasan air secara perlahan, sekali gus mengawal limpahan ketika musim hujan. Kanopi pokok memecahkan titisan hujan sebelum air meresap perlahan ke dalam tanah.
“Pada musim kering pula, air simpanan itu dilepaskan secara beransur-ansur ke sungai dan mata air untuk mengekalkan kelembapan kawasan.
“Pemeliharaan hutan juga meningkatkan daya tahan ekosistem serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13) iaitu Tindakan Iklim,” katanya.
Beliau turut merujuk kajian saintifik antarabangsa yang membuktikan keberkesanan program tanam semula.
“Satu kajian di China mendapati pelepasan puncak banjir menurun sehingga 14 peratus selepas program penanaman semula dijalankan,” katanya.
Langkah itu juga dikatakan mampu memulihkan iklim mikro kawasan berbukit.
“Penanaman semula hutan berupaya menurunkan suhu persekitaran melalui teduhan serta proses penyejatan-transpirasi. Keadaan itu sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko.
“Litupan hutan membantu melindungi rumah, infrastruktur asas serta tanah pertanian penduduk. Bekalan air bersih juga lebih terjamin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd