bhsukan@bh.com.my
MELAKA: Penang FC terus memperagakan aksi garang selepas meraih kemenangan ke atas Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.
Keputusan terbabit menyaksikan mereka meraih kemenangan ketiga berturut-turut untuk muncul pencabar terkuat musim ini menerusi aksi menarik terutama pada 45 minit pertama.
Kehadiran lebih 3,000 penyokong setia sedikit menyuntik semangat Melaka namun ia tidak cukup untuk meraih mata maksimum.
Malah, kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu masih belum cukup membangkitkan api perjuangan skuad itu walaupun peluang hadir seawal minit kedua menerusi percubaan Manuel Ott namun sekadar menggegar palang gol pelawat.
Dalam pada itu, Penang yang lebih tersusun mula mencipta peluang pada minit ke-20 namun rembatan Muhammad Al Hafiz mudah diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Akhirnya gol pertama pelawat hadir menerusi rembatan kencang bekas penyerang Melaka, Anselmo Casagrande pada minit ke-39 sekali gus mengejutkan barisan tuan rumah.
Gol terbabit berpunca daripada hantaran lintang Muhammad Al Hafiz yang menuju tepat kepada Casagrande untuk dia memilih melakukan rembatan ke kiri gawang Hang Tuah sekali gus menghadiahkan jaringan pertama pelawat.
Babak kedua memperlihatkan Penang terus mengganas selepas sekali lagi Casagrande meledak gol kedua pada minit ke-48.Jaringan bermula daripada hantaran Muhammad Al Hafiz yang ditanduk ke belakang oleh Ryuji Prabowo menuju ke Casagrande yang mudah menewaskan Khairul Fahmi.
Ketinggalan dua gol, skuad Hang Tuah merapatkan kedudukan menerusi tandukan pemain gantian, Stefan Nikolic pada minit ke-62 selepas menyudahkan sepakan percuma S Kumaahran.
© New Straits Times Press (M) Bhd