Penang FC belum miliki faktor ‘kill the game’

Penang FC belum miliki faktor ‘kill the game’

GEORGE TOWN : “Dari segi persembahan, saya lihat Penang FC semakin meningkat. Masalahnya ialah, kita kurang dari segi faktor untuk ‘kill the game’ (menyudahkan permainan dengan gol kemenangan).”

Itu rumusan yang dibuat oleh pengendali skuad Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail selepas menyaksikan anak-anak buahnya kecundang buat kali kedua di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, semalam.

Menurut Wan Rohaimi, dalam perlawanan itu, Penang FC berjaya mencipta banyak peluang, namun, gagal menterjemahkan peluang tersebut ke dalam bentuk jaringan seperti yang diharapkan.

“Secara keseluruhannya iaitu dari segi tenaga, pemain-pemain saya sudah bagi ‘habis’ malam ini. Tetapi, sedikit kealpaan di belakang (pertahanan) telah menghukum kami dengan dua jaringan yang sangat ‘soft’ (mudah) yang sepatutnya kita boleh elak,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan berakhir.

Dalam perlawanan itu, gol tuan rumah diperoleh menerusi tandukan kapten, Stefano Bruno pada minit ke-48 manakala gol-gol pelawat pula masing-masing disumbangkan oleh Muhammad Safawi Rashid pada minit ke-34 dan Kamal Azizi Mohamad Zabri pada minit ke-77.

Mengulas lanjut, Wan Rohaimi berkata, kegagalan untuk mengumpul tiga mata penuh selepas mengharungi tiga perlawanan awal termasuk tewas dalam kedua-dua aksi Liga Super di laman sendiri sedikit sebanyak memberikan tekanan serta menjejaskan rentak pasukannya ketika ini.

Bagaimanapun, beliau optimis anak-anak buahnya akan bangkit untuk memburu kemenangan sulung terutamanya apabila Penang FC melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC di laman sendiri, hujung bulan ini.

Menyentuh mengenai kebergantungan pasukannya terhadap pemain tengah dari Australia, Dylan Wenzel Halls untuk memburu gol pula, Wan Rohaimi berkata, kekuatan Penang FC sebenarnya terletak pada kerjasama berpasukan dan bukan keupayaan individu tertentu untuk berbuat demikian.

“Jadi, ketajaman untuk menjaringkan gol bukan menjadi tugas penyerang semata-mata. Dalam bola sepak moden, sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol termasuk penjaga gawang sendiri.

“Tapi, saya akui bahawa penyerang-penyerang kita masih belum menjumpai sentuhan jaringan mereka buat masa ini. Insya-Allah, saya yakin masalah ini akan berakhir sedikit masa lagi,” ujar beliau.-UTUSAN

Scroll to Top