Penang FC berpesta gol Stadium Bandaraya

Penang FC berpesta gol Stadium Bandaraya

sukan@hmetro.com

Georgetown: Penang FC meneruskan momentum kemenangan selepas berpesta gol membelasah Melaka FC, 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.

Kapten tuan rumah, Stefano Brundo meledak gol pembukaan Penang menewaskan penjaga gawang Melaka, Firdaus Irman Fadhil menerusi sepakan percuma seawal minit ketiga selepas pemain tengahnya, Firdaus Saiyadi dijatuhkan pertahanan import pelawat, Argzim Redzovic.

Lima minit kemudian, Brundo sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring selepas memanfaatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol menerusi tolakan mudah hasil sepakan sudut, Dylan Wenzel Halls.

Giliran Wenzel Halls menambah derita anak buah E Elavarasan berpunca daripada kesilapan hantaran pendek Redzovic yang sebelum itu dipintas pemain Penang sebelum dia tenang mencari ruang kosong melepaskan rembatan kencang pada minit ke-11.

Tiga minit berselang, Wenzel Halls sekali lagi mencuri tumpuan apabila melakukan larian deras secara solo melepasi perangkap ofsaid untuk menjadikan kedudukan 4-0 di minit ke-14.

Wenzel Halls dikeluarkan selepas mengalami kecederaan buku lali menuju bilik persalinan namun ketiadaannya tidak mengendurkan semangat Penang untuk terus memburu jaringan tambahan antaranya menerusi Adib Ra’op, Amirul Kamil Jaser dan pemain gantian Danilo Sipovac.

Namun, gol kelima menjadi milik pertahanan tengah, Faith Obilor apabila dia tenang menyambar bola di dalam kawasan penalti hasil sepakan sudut pemain gantian, Lim In Kyu pada minit ke-85.

Melaka cuba bangkit untuk mendapatkan gol sagu hati namun keputusan kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Skuad Harimau Kumbang mendaki satu anak tangga ke kedudukan kesembilan carta Liga Super berkongsi 14 mata di atas Sabah FC dengan kelebihan satu gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top