sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penang FC didakwa semakin hilang identiti sebagai pasukan pencabar apabila segelintir penyokong melihat Harimau Kumbang kini lebih sinonim sebagai destinasi persinggahan pemain yang sudah melepasi kemuncak prestasi berbanding kelab yang benar-benar memburu kejayaan.
Lebih mengecewakan, mereka beranggapan reputasi Penang FC sebagai antara kelab yang tidak berdepan masalah pembayaran gaji menjadi faktor utama beberapa pemain memilih menyarung jersi Harimau Kumbang, walaupun prestasi di atas padang semakin merudum.
Penyokong setia Penang FC, Mohd Ammar, berkata senario itu sudah berulang sejak beberapa musim lalu apabila pengurusan terus membawa masuk pemain yang gah pada nama, namun gagal memberi impak kepada pasukan.
“Setiap musim skripnya hampir sama. Pemain yang datang sekadar menggantikan pemain yang keluar, bukannya meningkatkan kualiti pasukan.
“Lebih mengecewakan, ada pemain yang sudah jauh menurun prestasi tetapi masih mendapat tempat di Penang FC. Penyokong mula melihat seolah-olah Penang FC menjadi tempat paling selesa untuk mereka mengakhiri karier kerana tahu gaji akan tetap dibayar.
“Sedangkan pemain yang benar-benar bermain sepenuh hati dan menjadi kegemaran penyokong pula akhirnya berhijrah ke pasukan lain,” katanya kepada Arena Metro.
Seorang lagi penyokong, Faiz Zainol, turut meluahkan rasa hairan apabila kestabilan kewangan kelab gagal diterjemahkan kepada prestasi yang lebih kompetitif.
Katanya, Penang FC tidak mempunyai masalah mendapatkan Lesen Kebangsaan dan Lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sekali gus membuktikan pengurusannya berada dalam keadaan baik. Namun, perkara itu tidak cukup untuk mengangkat prestasi pasukan.
“Realitinya, Penang FC masih bergantung kepada dana kerajaan negeri. Apabila bajet terhad, pilihan pemain juga menjadi terhad.
“Sebab itu kita lihat ramai pemain yang dibawa masuk bukan lagi berada pada prestasi terbaik. Nama mungkin besar, tetapi aksi di atas padang tidak lagi seperti dulu.
“Apabila ada pemain Penang FC yang benar-benar menyerlah, mereka pula gagal dikekalkan kerana menerima tawaran lebih lumayan daripada pasukan lain.
“Yang paling mengecewakan, ada pemain yang dilihat sekadar cukup makan di atas padang. Prestasi tidak seberapa, pasukan kalah, tetapi gaji tetap masuk setiap bulan. Itu yang membuatkan penyokong semakin kecewa,” katanya.
Menurut Faiz, pengurusan juga perlu memikirkan strategi membawa masuk penaja yang lebih kukuh supaya Penang FC tidak terus bergantung kepada kerajaan negeri jika mahu membina pasukan yang mampu bersaing merebut kelompok atasan Liga Super.
Sementara itu, Aweh Fairus Saibari pula mengakui beliau memahami kekangan bajet yang dihadapi kelab, namun berharap setiap pemain yang menyertai Penang FC musim 2027/2028 hadir dengan mentaliti untuk berjuang, bukannya menjadikan kelab itu sekadar persinggahan.
“Saya harap pemain yang datang bukan sebab melihat Penang FC sebagai tempat yang gajinya terjamin. Penyokong mahu lihat pemain yang sanggup berkorban, bekerja keras dan memberi segala-galanya di atas padang.
“Kalau sekadar datang kerana nama dan gaji, memang sukar untuk Penang FC kembali menjadi pencabar dalam Liga Super,” katanya.
Tiga musim terakhir menyaksikan wakil Utara itu bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik apabila gagal menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik Liga Super meskipun dibarisi beberapa pemain berprofil tinggi serta tidak berdepan masalah pembayaran gaji.
© New Straits Times Press (M) Bhd




