PETALING JAYA: Penang FC mengemukakan aduan rasmi kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan dakwaan Kuching City FC menurunkan pemain yang tidak disenaraikan sebagai pemain gantian.
Kontroversi itu dikatakan berlaku ketika perlawanan Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan yang berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak kepada Kuching City.
Dalam aksi berkenaan, pemain import Kuching City, Scott Woods, didakwa dimasukkan sebagai pemain gantian walaupun namanya tidak tersenarai dalam senarai rasmi pemain simpanan bagi perlawanan tersebut.
Penang FC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil serius isu berkenaan selepas ia mula diperkatakan dalam kalangan penyokong di media sosial.
Menurut kelab itu, satu aduan rasmi sudah dikemukakan kepada MFL bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“Penang FC mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh kelab penyokong di media sosial berhubung dakwaan bahawa Kuching City FC telah menurunkan pemain yang tidak disenaraikan sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Super.
“Pihak kelab telah mengemukakan aduan rasmi berhubung perkara ini dan kini sedang menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada pihak berkaitan,” kata kenyataan itu.
Penang FC turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan setiap perlawanan berlangsung mengikut peraturan yang ditetapkan demi memelihara integriti bola sepak tempatan.
Sekiranya Kuching City didapati bersalah melanggar peraturan pertandingan, keputusan perlawanan tersebut berkemungkinan dibatalkan sekali gus memberi implikasi besar terhadap saingan di kelompok teratas liga.
Ketika ini, Selangor FC menghuni tangga kedua Liga Super dengan 42 mata, hanya dua mata di hadapan Kuching City yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Situasi itu menjadikan keputusan siasatan MFL berpotensi memberi kesan besar terhadap perebutan kedudukan naib juara musim ini.-UTUSAN




